Bas ekspres bawa 10 penumpang terbabas, terbalik

JOHOR BAHRU- Sebuah bas ekspres membawa 10 penumpang dipercayai terbabas sebelum terbalik di tepi jalan dekat Kampung Sepakat Baru, Batu 11 susur keluar Plaza Tol Skudai di sini, malam Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Kamarulzaman Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.20 malam sebelum sebuah jentera bersama anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 8.29 malam dan mendapati bas ekspres berkenaan terbabas sebelum terbalik di tepi jalan.

“Seramai 10 mangsa terbabit dalam kemalangan itu. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan dua penumpang yang tersepit menggunakan peralatan khas.
“Seorang lagi mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu bas bersama dua lagi mangsa mengalami kecederaan namun tidak tersepit, manakala empat penumpang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan St John Ambulans sebelum dihantar untuk rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.14 malam selepas keadaan disahkan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Jelasnya, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
Ringkasan AI
- Bas ekspres yang membawa 10 penumpang terbabas dan terbalik di tepi jalan dekat Kampung Sepakat Baru
- Pihak bomba menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi kejadian
- Dua penumpang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas, seorang lagi oleh orang awam
- Pemandu bas dan dua mangsa mengalami kecederaan serius, empat lainnya kecederaan ringan
- Semua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar untuk rawatan lanjut, operasi ditamatkan sepenuhnya selepas keadaan disahkan selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

