Konflik Asia Barat: Malaysia sedia aktifkan pelan evakuasi pelajar jika perlu

Adam Adli (tengah) bergambar kenangan bersama penerima sumbangan Akaun SSPN Prime pada Majlis Iftar Perdana bersama Media Melaka di sebuah hotel dekat Banda Hilir pada Sabtu. Foto: Bernama
Adam Adli (tengah) bergambar kenangan bersama penerima sumbangan Akaun SSPN Prime pada Majlis Iftar Perdana bersama Media Melaka di sebuah hotel dekat Banda Hilir pada Sabtu. Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan bersedia mengaktifkan pelan evakuasi bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di Asia Barat sekiranya situasi semasa di rantau berkenaan memerlukan tindakan segera.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, pelan tersebut telahpun disediakan lebih awal dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa bergantung kepada perkembangan semasa.

Beliau berkata, kementeriannya bersama Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra sentiasa memantau rapat keadaan di negara terlibat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk pelajar sentiasa terjamin.

"Pelajar Malaysia yang berada di negara berkenaan juga telah dikenal pasti serta dihubungi melalui wakil Malaysia di luar negara bagi memberi nasihat dan panduan sekiranya keadaan memerlukan mereka dipindahkan.

"Ibu bapa yang ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai anak-anak mereka boleh menyemak dengan Wisma Putra,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar bersama Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini pada Sabtu.

Adam Adli berkata, setakat ini kementeriannya mengenal pasti kira-kira 1,762 pelajar Malaysia berada di Jordan, diikuti di Arab Saudi (135), Emiriah Arab Bersatu (21), Kuwait (9), Iran (6) dan Qatar (3).

Beliau juga turut menasihatkan pelajar yang baru menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti di Asia Barat supaya menangguhkan perjalanan buat sementara waktu berikutan keadaan semasa yang masih belum kondusif.

Beliau berkata, ini termasuklah gangguan penerbangan ke beberapa negara di rantau itu yang turut menjejaskan pergerakan ke destinasi berkenaan.

"Bagi pelajar yang bakal ke sana, mungkin baru mendapat tawaran atau akan memulakan pengajian, situasi ini belum begitu kondusif.

Artikel Berkaitan:

"Langkah paling selamat ketika ini ialah menangguhkan perjalanan buat sementara waktu serta sentiasa berhubung dengan universiti masing-masing dan KPT bagi mendapatkan kemas kini terkini,” katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Kerajaan bersedia mengaktifkan pelan evakuasi bagi pelajar Malaysia di Asia Barat jika diperlukan
  • Pelan tersebut telah disiapkan dan boleh diaktifkan bila-bila masa sesuai dengan perkembangan situasi
  • Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra memantau keadaan untuk memastikan keselamatan pelajar
  • Pelajar dan ibu bapa boleh mendapatkan maklumat terkini melalui Wisma Putra
  • Pelajar yang menerima tawaran pengajian di Asia Barat dinasihatkan menangguhkan perjalanan mereka sementara waktu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!