Kuasa politik Melayu terancam jika perpecahan terus kritikal - Mohd Razlan

SABAK BERNAM - Perpaduan kaum Melayu kini berada pada tahap kritikal apabila ancaman perpecahan dalaman berpotensi melemahkan kuasa politik.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kaum Melayu hanya membentuk kira-kira 60 peratus penduduk negara, justeru kesatuan dalam masyarakat Melayu amat penting bagi mengekalkan dominasi politik.
"Bangsa lain bersatu dan mereka tahu bagaimana untuk menentukan dasar dan kepentingan mereka.
"(Kaum) Melayu pula terlalu selesa, kononnya mendominasi negara, tetapi jika kita berpecah, kuasa politik boleh jatuh ke tangan bangsa lain," katanya semasa Program Sinar Ramadan di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak menyambut baik inisiatif Rumah Bangsa yang dibuka oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi peluang kepada semua ahli UMNO dan orang Melayu untuk bernaung di bawah satu platform tanpa syarat.
Menurut Razlan, Rumah Bangsa menjadi peluang penting untuk menyatukan parti-parti Melayu, menangkis pemikiran liberal yang kian meluas dan memastikan kuasa politik Melayu tetap berada di tangan mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Perjuangan orang Melayu umpama telur di hujung tanduk dan jika kita tidak bersatu, kuasa boleh hilang.
"Rumah Bangsa adalah peluang untuk menyatukan kembali parti-parti Melayu dan memastikan dominasi politik Melayu dikekalkan,” tegasnya.
Ringkasan AI
- Perpaduan kaum Melayu berada pada tahap kritikal dengan ancaman perpecahan yang boleh melemahkan kuasa politik
- Kaum Melayu membentuk kira-kira 60 peratus penduduk negara dan kesatuan dalam masyarakat amat penting untuk dominasi politik
- Bangsa lain bersatu dan tahu menentukan dasar serta kepentingan mereka, berbanding kaum Melayu yang terlalu selesa
- Inisiatif Rumah Bangsa dibuka untuk menyatukan UMNO dan orang Melayu di bawah satu platform tanpa syarat
- Rumah Bangsa penting untuk menyatukan parti-parti Melayu, menangkis pemikiran liberal dan memastikan kuasa politik Melayu tetap berada di tangan mereka menjelang PRU16
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


