Hospital wakaf RM270 juta pertama dalam negara bakal dibina

Marhamah (tengah) diiringi Tuminah (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program Singgah Sahur pada Sabtu.
Marhamah (tengah) diiringi Tuminah (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program Singgah Sahur pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Pembinaan hospital wakaf bernilai RM270 juta di Kajang, Selangor bakal menjadi hospital pertama dalam negara ini yang dibangunkan menggunakan dana wakaf.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, majlis pecah tanah bagi projek tersebut telah dilaksanakan sebelum ini dan kerja pembinaan itu dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat, bukan sahaja melalui sumbangan kebajikan tetapi juga pembangunan infrastruktur.

“Hospital wakaf ini kita baharu nak mulakan. Kita sudah selesai pecah tanah dan insya-ALLAH selepas Ramadan projek hospital wakaf pertama negara ini akan dimulakan,” katanya pada Program Singgah Sahur di sekitar DUN Pantai Kundor dan Hotel Puteri Bay di sini pada Sabtu.

Marhamah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program Singgah Sahur pada Sabtu.
Marhamah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program Singgah Sahur pada Sabtu.

Turut hadir ADUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia,Dr Ridzwan Bakar

Tambah beliau, selain hospital berkenaan, terdapat empat hotel telah dibangunkan di beberapa negeri menggunakan dana wakaf iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

“Kewujudan projek ini menjadi contoh bahawa dana wakaf boleh dimanfaatkan untuk pembangunan yang memberi pulangan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, hasrat kita supaya hotel wakaf ini bukan sahaja menjadi contoh, tetapi semua negeri ada pembangunan seperti hotel wakaf dan hospital wakaf,” katanya.

Beliau turut memaklumkan trend kutipan wakaf di negara ini menunjukkan peningkatan kira-kira 10 peratus tahun lalu dengan sumbangan tertinggi direkodkan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

Marhamah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pasukan keselamatan negara.
Marhamah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pasukan keselamatan negara.

Bagaimanapun katanya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat di negeri-negeri lain.

“Wakaf ini sebenarnya tidak begitu diketahui ramai berbanding sedekah, infak atau zakat.

“Walaupun begitu, wakaf boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat kerana serendah RM5 pun sudah boleh dikira sebagai wakaf tunai.

“Maknanya tidak perlu kaya untuk berwakaf, golongan B40 juga boleh menyumbang dan pahala wakaf itu berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sasaran kutipan wakaf sebanyak RM1 juta ditetapkan sepanjang satu bulan Ramadan ini.

Ujarnya, kemudahan untuk berwakaf kini dipermudahkan melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) dan aplikasi Wakaf yang dilancarkan sempena Bulan Wakaf Kebangsaan pada 1 Ramadan lalu.

Menerusi program Singgah Sahur, sebanyak lapan rumah dilawati dan disampaikan sumbangan daripada Tabung Musa'adah JAKIM, Yayasan Waqaf Malaysia berbentuk sumbangan bakul makanan serta sumbangan tunai daripada Yayasan Taqwa.

Ringkasan AI

  • Hospital wakaf RM270 juta pertama dalam negara bakal dibina di Kajang, Selangor
  • Timbalan Menteri berkenaan mengumumkan kerja pembinaan dijangka akan dimulakan selepas Ramadan
  • Projek bertujuan memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat melalui pembangunan infrastruktur
  • Empat hotel sudah dibangunkan menggunakan dana wakaf di Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu
  • Trend kutipan wakaf menunjukkan peningkatan sekitar 10 peratus tahun lalu, dengan sasaran kutipan RM1 juta sepanjang bulan Ramadan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!