Selangor hanya ada 20 peratus bekalan babi hidup - Izham

Izham
Izham
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan babi hidup di Selangor kini hanya mampu menampung kira-kira 20 peratus daripada permintaan sebenar.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, negeri ini masih bergantung kepada bekalan dari negeri lain terutamanya Perak dan Sarawak bagi menampung keperluan bukan Islam.

"Daripada Sarawak, kita benarkan pengimportan sehingga 2,000 ekor seminggu, tetapi setakat ini hanya 800 ekor masuk dan ia masih tidak mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Iftar Ramadan Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini pada Jumaat.

Izham menambah, selain babi hidup, terdapat juga pengimportan daging babi beku oleh pihak swasta yang jumlahnya lebih banyak.

Bagaimanapun beliau menegaskan, pihak kerajaan negeri sentiasa memantau bekalan bagi memastikan harga tidak melonjak secara mendadak.

"Kalau keperluan meningkat, kita akan menambah bekalan supaya mencukupi. Sekarang pun, harga sudah agak tinggi," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan Selangor akan memperkenalkan program baharu 'Mantai' iaitu tradisi dari Negeri Sembilan bagi membolehkan rakyat membeli lembu dan kerbau pada harga rendah menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, aktiviti Mantai tahun ini akan diadakan di Beranang dan Shah Alam pada 17 dan 18 Mac selama 24 jam bagi memudahkan orang ramai mendapatkan daging segar pada harga mampu milik.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua kupon bernilai RM100,000 telah disediakan untuk rakyat yang mana daging lembu yang dijual pada harga pasaran RM38 sekilogram ditawarkan pada RM30 sekilogram, manakala kita berikan lagi kupon RM5 menjadikan harga akhir hanya RM25 sekilogram.

"Ayam turut disediakan sebagai sampingan dengan kupon RM5," tambah beliau.

Katanya, program Mantai turut menjadi tumpuan kerana menggabungkan elemen gotong-royong tradisi dan jualan produk raya lain seperti santan dan kerisik, sekali gus memeriahkan persiapan Aidilfitri rakyat Selangor.

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Bekalan babi hidup di Selangor hanya mencukupi 20 peratus daripada permintaan sebenar
  • Selangor bergantung kepada bekalan dari Perak dan Sarawak
  • Pengimportan dari Sarawak dibenarkan sehingga 2,000 ekor seminggu tetapi hanya 800 ekor yang diimport
  • Pengimportan daging babi beku oleh pihak swasta lebih banyak berbanding babi hidup
  • Kerajaan Selangor akan memperkenalkan program 'Mantai' bagi membolehkan rakyat membeli lembu dan kerbau pada harga rendah menjelang Aidilfitri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!