Imej satelit terkini dedah radar sistem pertahanan AS di UAE, Jordan musnah diserang Iran

TEHERAN – Imej satelit terkini menunjukkan beberapa radar buatan Amerika Syarikat yang ditempatkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan dipercayai musnah selepas diserang peluru berpandu serta dron Iran ketika konflik di Asia Barat terus memuncak.
Analisis imej satelit daripada beberapa pangkalan tentera di Semenanjung Arab menunjukkan Iran memberi tumpuan kepada sasaran infrastruktur radar yang menjadi komponen utama sistem pertahanan peluru berpandu yang dibekalkan Amerika Syarikat.
Salah satu radar yang menyokong bateri sistem pertahanan peluru berpandu Sistem Pertahanan Peluru Berpandu Altitud Tinggi Terminal (THAAD) di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, Jordan dilaporkan rosak teruk selepas dipercayai terkena serangan pada hari-hari awal peperangan, menurut imej satelit yang dirakam pada Isnin.
Pangkalan tersebut terletak lebih 800 kilometer dari Iran, sekali gus menunjukkan kemampuan jarak jauh operasi serangan balas Tehran.
Kerosakan serupa turut dikesan di UAE. Analisis imej satelit mendapati beberapa bangunan yang menempatkan infrastruktur berkaitan radar di dua lokasi — berhampiran Ruwais dan Sader — dilaporkan terkena serangan antara 28 Februari hingga 1 Mac.
Sekurang-kurangnya tiga struktur di Ruwais dan empat bangunan di Sader mengalami kerosakan jelas, termasuk kemudahan simpanan kenderaan yang biasanya digunakan untuk menempatkan sistem radar berkaitan bateri THAAD.
Komponen radar dianggap elemen paling kritikal dalam sistem pemintas peluru berpandu berteknologi tinggi kerana ia berfungsi mengesan serta menjejak peluru berpandu balistik dan dron yang masuk ke ruang udara.
Tanpa sistem tersebut, keupayaan bateri pemintas untuk bertindak balas terhadap ancaman udara akan merosot dengan ketara.
Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan serangan itu merupakan sebahagian daripada operasi ketenteraan berskala besar dikenali sebagai Operasi Janji Benar 4, yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel.
Dalam satu kenyataan, IRGC mendakwa lebih tujuh radar canggih berjaya dimusnahkan dalam operasi tersebut.
“Dengan kemusnahan lebih tujuh radar canggih ini, ‘mata’ Amerika Syarikat dan rejim Zionis di rantau ini telah dibutakan,” menurut kenyataan pasukan itu.
Konflik tersebut tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan siri serangan udara baharu ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang menurut Teheran mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk orang awam dan pegawai kanan tentera.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel serta pangkalan tentera Amerika di rantau Asia Barat.- Agensi
Ringkasan AI
- Imej satelit terkini menunjukkan beberapa radar buatan Amerika Syarikat di UAE dan Jordan musnah akibat serangan peluru berpandu dan dron Iran
- Iran menyerang infrastruktur radar yang kritikal dalam sistem pertahanan peluru berpandu Amerika
- Salah satu radar di Jordan yang sokong sistem THAAD rosak teruk dikena serangan
- Analisis imej satelit tunjuk kerosakan serupa di UAE, dengan beberapa bangunan infrastruktur radar terjejas
- Serangan tersebut adalah sebahagian daripada Operasi Janji Benar 4 oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran sebagai balasan terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
