Tiga lelaki tidak mengaku bergaduh dalam Balai Polis Meru

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas pertuduhan bergaduh di Balai Polis Meru.
Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas pertuduhan bergaduh di Balai Polis Meru.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan bergaduh dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang lelaki di Balai Polis Meru, di sini empat hari lalu.

Dua pemandu lori, A Magendran, 44, dan B Kalairasan, 38, serta kelindan lori, P Gopinath, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Nor Azilah Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, tiga lelaki itu didakwa berkelakuan tidak senonoh di bangunan polis, dengan membuat bising dan bergaduh di balai berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun, menggunakan topi keledar dan batang besi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Kalairasan didakwa atas satu lagi pertuduhan, melakukan khianat iaitu merosakkan televisyen sehingga menyebabkan kerugian.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Gopinath turut didakwa atas satu lagi pertuduhan, menakutkan secara jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ugutan, mahu memukul seorang lelaki, berusia 24 tahun.

Artikel Berkaitan:

Kes diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di balai polis berkenaan pada jam 9.47 malam 2 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi dan Ahmad Sulfie Abu Hassan sementara peguam A Biranta hadir bagi pihak semua tertuduh.

Nor Azilah membenarkan Kalairasan dan Gopinath diikat jamin masing-masing RM13,000 sementara, Magendran RM9,000.

Magendran juga dikehendaki melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan sebutan semula bagi semua kes terbabit, pada 25 Mei depan.

Sebelum ini, rakaman pergaduhan sekumpulan lelaki tular di media sosial memaparkan kejadian pukul memukul seorang individu di balai tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian bermula apabila tiga lelaki hadir ke balai berkenaan untuk membuat laporan.

Katanya, mereka kemudiannya didatangi lima lelaki lain dan situasi bertukar tegang sehingga mencetuskan perbalahan.

Kekecohan tersebut turut menyebabkan kerosakan pada televisyen milik balai polis sebelum semua suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.

Ringkasan AI

  • Tiga lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bergaduh di Balai Polis Meru
  • Dua daripada mereka adalah pemandu lori manakala seorang lagi adalah kelindan lori
  • Pertuduhan merangkumi berkelakuan tidak senonoh, merosakkan harta dan menyebabkan kecederaan
  • Mereka berhadapan dengan hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
  • Pergaduhan bermula ketika mereka datang untuk membuat laporan dan bertemu dengan lima lelaki lain yang menyebabkan situasi tegang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!