Pemandu pelancong diserang asma ketika didakwa menipu hampir RM500,000

Hakim menangguhkan seketika prosiding sejurus selepas pertuduhan dibacakan apabila melihat lelaki yang berada di dalam kandang tertuduh beberapa kali tercungap-cungap dan terpaksa menggunakan alat sedut (inhaler). Foto hiasan
Hakim menangguhkan seketika prosiding sejurus selepas pertuduhan dibacakan apabila melihat lelaki yang berada di dalam kandang tertuduh beberapa kali tercungap-cungap dan terpaksa menggunakan alat sedut (inhaler). Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu pelancong mengalami serangan asma ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan kerugian hampir RM500,000 tahun lepas.

Tjoeng Chan Chin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Azrul menangguhkan seketika prosiding sejurus selepas pertuduhan dibacakan apabila melihat lelaki yang berada di dalam kandang tertuduh beberapa kali tercungap-cungap dan terpaksa menggunakan alat sedut (inhaler).

Prosiding disambung semula beberapa minit kemudian dengan hakim mengarahkan Tjoeng duduk di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding berlangsung.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas menipu seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun dengan menawarkan pinjaman pelaburan tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM475,166.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah lokasi di Seksyen 6 Wangsa Maju di sini, antara 12 Mac hingga 3 April 2025, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Evie Melynda Jee yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit jantung, asma serta darah tinggi kronik.

Tertuduh yang berpendapatan RM3,000 sebulan juga menanggung dua anak serta ibu bapa yang sudah berusia.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 April ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu pelancong mengalami serangan asma ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan penipuan
  • Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan
  • Pertuduhan melibatkan modus menawarkan pinjaman pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian hampir RM500,000
  • Kesalahan didakwa dilakukan bersama-sama dua individu lain yang masih bebas
  • Mahkamah membenarkan jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!