X

Kindly register in order to view this article
!

KDNK turun negatif 3 peratus jika Covid-19 lebih serius: Pakar ekonomi

Profesor Dr Jamal Othman selaku panelis Wacana Siri 162 bertajuk Ekonomi Malaysia selepas 14 April yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam ini.
A
A

SHAH ALAM - Kadar pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkemungkinan mencatatkan penurunan hampir negatif 3 peratus sekiranya kesan pandemik koronavirus (Covid-19) jauh lebih serius daripada jangkaan.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Dr Jamal Othman berkata, berdasarkan kajian MIER, sekiranya kesan pandemik tidak berpanjangan dan boleh dipulihkan selewat-lewatnya hujung tahun ini, ekonomi negara kita boleh tumbuh sekitar 1.9 atau kurang dua peratus.

Menurutnya, MIER sememangnya sudah menjangkakan ekonomi negara akan jatuh merudum susulan penularan Covid-19 bermula awal tahun ini dengan kemungkinan sama ada menyamai atau melebihi kesan Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 hingga 1998.

"Asas ekonomi bukan perkara aneh dan sangat 'common sense' apabila ia hanya membabitkan proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan dan proses penggunaan (consumption) yang akhirnya membentuk KDNK negara.

"Jadi apabila semua itu tidak bergerak kecuali sektor penting dan utama, sudah pasti MIER menjangkakan ekonomi negara akan merudum dengan kemungkinan menyamai atau melebihi krisis kewangan tahun 1997 dan 1998.

"Tahun lepas KDNK negara tumbuh sebesar 4.3 peratus...itu sudah dianggap baik meskipun sebenarnya rendah. Bagaimanapun berbanding senario kita alami ketika ini, ada kemungkinan KDNK boleh jadi negatif hampir tiga peratus mengikut kajian MIER dengan segalanya bergantung kepada tahap kesan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 162 bertajuk Ekonomi Malaysia selepas 14 April yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam ini.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dengan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Jamal juga tidak menolak kemungkinan kerajaan akan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 14 April ini sekiranya data bilangan kes jangkitan Covid-19 tidak memberikan petunjuk baik.

Menurutnya, hal ini disebabkan data dikumpulkan MIER dan Majlis Profesor Malaysia berkenaan trend peningkatan bilangan kes di negara ini adalah selari dengan data diberikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Hari ini, WHO menganggarkan bilangan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia berkemungkinan sampai ke kemuncak pada awal April dan ianya selari dengan anggaran data dikumpulkan MIER yang tidak menolak kemungkinan kes negara ini akan memuncak sekitar 14 April.

"Kita berharap data itu terus menunjukkan petunjuk baik, namun sekiranya ia terus memuncak pada 14 April, saya rasa sangat berkemungkinan tempoh PKP dilanjutkan supaya kerajaan dapat terus mengekang peningkatan kes penularan Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus