Tiba masa komuniti bola sepak lindungan anggota masyarakat

Walker (kiri), meraikan kejayaan merangkul Piala Liga bersama rakan sepasukan 1 Mac lalu. Foto : EPA
Walker (kiri), meraikan kejayaan merangkul Piala Liga bersama rakan sepasukan 1 Mac lalu. Foto : EPA
A
A
A

Pertahanan Manchester City, Kyle Walker mengakui perintah berkurung atau 'lockdown' nyata lebih besar daripada sukan bola sepak itu sendiri.

Walker turut menyifatkan perintah berkenaan berikutan pandemik Covid-19 ketika ini sebagai masa untuk semua pihak bertahan dan mula memikirkan mengenai orang lain.

Malah katanya, situasi sukar itu turut menyaksikan perintah daripada kerajaan yang melarang sesi latihan diadakan berikutan peningkatan pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

“Selaku pemain bola sepak yang sentiasa mengikut struktur dan rutin harian, ia nyata sesuatu yang mencabar.

“Ia sesuatu yang sukar tetapi kita perlu mula fikirkan mengenai kesihatan orang lain dengan melindungi yang lebih berusia termasuk ahli keluarga sendiri yang boleh menyebarkan virus ini.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kita ‘bertahan’ dan memikirkan mengenai orang lain selain hanya memikirkan kepentingan sendiri,” katanya.

Untuk rekod, perintah berkurung berkenaan sudah memasuki hari ke-24 sejak kali terakhir skuad kendalian Pep Guardiola itu beraksi berdepan Aston Villa pada final Piala Liga 1 Mac lalu.

Walker turut mengakui dia merindui untuk kembali beraksi biarpun berpeluang bersama keluarga terutamanya dengan tiga anak lelakinya di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Anda perlu ada kumpulan chat. Saya rasa ia adalah untuk kekalkan fikiran yang aktif di mana sebagai pemain bola sepak kita telah dibekalkan dengan kelengkapan gimnasium, basikal dan juga program untuk memastikan kita kekal cergas.

“Saya juga telah menghantar mesej kepada pengurus pasukan Pep Guardiola yang telah menyumbang £918,000 pound (RM5 juta) di Sepanyol dan mengharapkan agar dia dan keluarga dalam keadaan baik.

“Ketepikan bola sepak. Sumbangan itu dikenal pasti datang dari hatinya sendiri dan itu telah menggambarkan lebih banyak mengenainya (Guardiola), sebagai seorang insan,” katanya.

Sementara itu menurut Walker, Guardiola juga mahu peminat Manchester City untuk kekal berada di rumah menerusi pelancar laman web ‘Cityzens At Home’ baru-baru ini.

“Ia sesuatu yang mudah. Hanya perlu ikuti panduan. Walaupun anda tidak ada simptom, jangan ambil mudah. Duduk rumah, basuh tangan dan bantu petugas NHS.

“Hentikan seketika berfikir mengenai bola sepak kerana tumpuan yang jauh lebih penting sekarang adalah kepada kesihatan diri, keluarga dan orang lain.

“Namun kita tetap berharap bola sepak akan kembali dan musim kali ini mampu ditamatkan, tetapi jika tidak boleh semua pihak perlu faham bahawa kesihatan itu jauh lebih penting daripada sukan itu sendiri,” katanya.