Kedai jahit jadi tumpuan pembeli baju raya online

Syarif Al-Faiz sedang menyiapkan pakaian yang ditempah pelanggan di premis jahitan di Gohg Kapas Kuala Terengganu.
Syarif Al-Faiz sedang menyiapkan pakaian yang ditempah pelanggan di premis jahitan di Gohg Kapas Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Trend pembelian baju raya secara dalam talian kini antara sebab kedai jahit tidak menang tangan menerima pelanggan yang mahu melakukan pengubahsuaian pada pakaian yang baharu dibeli.

Tukang jahit muda, Syarif Al-Faiz Shariful Hadi, 24, berkata, sejak November tahun lalu, premisnya tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan yang membawa baju yang sudah siap dibeli namun tidak menepati saiz badan.

“Ramai yang datang untuk ubah suai baju raya yang dibeli secara dalam talian. Antaranya memendekkan labuh baju kurung, memendekkan lengan atau membaiki saiz seluar.

“Tetapi, kami ada prinsip sendiri. Kalau baju perempuan mahu dikecilkan mengikut bentuk badan, kami tidak buat. Kami hanya fokus pada bahagian asas seperti labuh dan lengan sahaja,” katanya ketika ditemui di premisnya di Gong Kapas, di sini.

Syarif yang merupakan lulusan Kolej Profesional Baitulmal (MAIWP) mengusahakan perniagaan tersebut bersama bapanya, Shariful Hadi Alias, 51.

Antara kedai jahit yang menyediakan khidmat 'alter' pakaian yang telah siap dibeli.
Antara kedai jahit yang menyediakan khidmat 'alter' pakaian yang telah siap dibeli.

Walaupun permintaan tinggi, Syarif berkata, dia terpaksa mengehadkan jumlah tempahan bagi memastikan setiap pelanggan dapat menggayakan baju raya mengikut perancangan asal.

“Kalau potong baju sahaja, biasanya ambil masa dalam setengah jam. Tetapi dalam musim raya ini, kami perlu pastikan kerja siap tepat pada masanya,” tambahnya yang mengusahakan salah sebuah daripada tiga kedai jahit yang beroperasi di lokasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pelanggan, Ahmad Hishamuddin Harun, 41, berkata, khidmat ubah suai yang ditawarkan oleh kebanyakan tukang jahit di situ sangat membantu mereka yang membeli pakaian secara dalam talian.

“Tahun ini saya beli baju raya secara dalam talian. Masalahnya apabila beli secara dalam talian, kadang-kadang saiznya tidak tepat. Jadi saya terus bawa untuk ubah suai kerana cepat dan jahitannya sangat kemas.

“Bukan mahu kata kedai luar tidak bagus, tetapi saya puas hati dengan hasil jahitan di sini. Paling lama saya pernah tunggu pun cuma sejam sahaja,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Trend pembelian baju raya secara dalam talian menyebabkan kedai jahit menerima banyak pelanggan untuk pengubahsuaian saiz
  • Syarif Al-Faiz Shariful Hadi menerima banyak pelanggan ingin memendekkan labuh baju kurung atau lengan dan membaiki saiz seluar
  • Kedai jahit hanya fokus pada ubah suai bahagian asas seperti labuh dan lengan tanpa mengubah saiz mengikut bentuk badan
  • Permintaan tinggi menyebabkan Syarif mengehadkan jumlah tempahan untuk memastikan kerja siap tepat masa
  • Pelanggan merasa puas hati dengan khidmat ubah suai kerana cepat dan jahitan kemas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!