JKM cari ibu kandung bayi perempuan ditinggalkan di hospital

GEORGE TOWN- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di Hospital Seberang Jaya pada 16 Mei tahun lalu.
Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah, Siti Nur Fazlina Md Daud berkata, ibu kandung bayi berkenaan yang dikenali sebagai Dita Ledia, warganegara Indonesia gagal dikesan selepas menghilangkan diri ketika urusan perbincangan kebajikan kanak-kanak dijalankan.
Menurutnya, bayi berkenaan kini ditempatkan di Tempat Selamat JKM sementara usaha mengesan warisnya diteruskan.
“Kanak-kanak tersebut telah diselamatkan oleh JKM di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan kebajikan dan keselamatannya terjamin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bayi itu tidak memiliki sijil kelahiran kerana kelahirannya tidak pernah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara.
“Pelindung telah cuba menghubungi ibu kandung namun usaha tersebut gagal kerana tiada alamat sah dikemukakan dan nombor telefon yang diberikan tidak dapat dihubungi,” katanya lagi.
Tambah beliau, Permohonan Pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan bagi membolehkan hebahan media dibuat dalam usaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan.
"Sehubungan itu, waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung bayi terbabit diminta tampil membantu dengan menghubungi kami di talian 04-538 2584," ujarnya.
Ringkasan AI
- JKM cari ibu kandung bayi perempuan ditinggalkan di hospital Seberang Jaya
- Ibu kandung bayi, Dita Ledia, warganegara Indonesia gagal dikesan
- Bayi tersebut ditempatkan di Tempat Selamat JKM sementara usaha mengesan warisnya diteruskan
- Bayi itu tidak memiliki sijil kelahiran kerana tidak didaftarkan
- Waris atau orang ramai dengan maklumat diminta menghubungi JKM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

