Iraq lanjutkan penutupan ruang udara selama 48 jam susulan ketegangan serantau

BAGHDAD - Iraq pada Isnin melanjutkan penutupan ruang udaranya selama 48 jam lagi susulan ketegangan serantau yang berterusan, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Iraq memaklumkan yang pelanjutan ini berkuat kuasa dari jam 12 tengah hari waktu tempatan (0900 GMT) Isnin hingga 12 tengah hari (0900 GMT) Rabu dan terpakai kepada semua penerbangan yang tiba, berlepas dan transit.
Pihak berkuasa menyifatkan langkah ini sebagai langkah "sementara dan berjaga-jaga” selepas melakukan semakan menyeluruh terhadap semua faktor berkaitan.
Keputusan itu akan dinilai semula mengikut perkembangan baharu dan syarikat penerbangan serta pihak berkepentingan akan dimaklumkan tentang sebarang kemas kini.
Pelanjutan ini dibuat selepas Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas oleh Iran.
Teheran mengesahkan pada Ahad yang Pemimpin Agung Iran Ali Khamenei terbunuh dalam serangan Sabtu lepas. - Bernama
Ringkasan AI
- Iraq melanjutkan penutupan ruang udaranya selama 48 jam lagi
- Penutupan berkuat kuasa dari 12.00 tengah hari waktu tempatan Isnin hingga 12.00 tengah hari Rabu
- Langkah ini diambil sebagai langkah sementara dan berjaga-jaga
- Keputusan akan dinilai semula mengikut perkembangan baharu
- Pelanjutan ini dibuat selepas serangan yang berlaku antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
