Suspek tetak rakan ditemui meninggal dunia di dapur rumah

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas yang dipercayai terlibat dalam kes tetak rakannya di sebuah restoran berhampiran Pasar Pulau Tikus ditemui meninggal dunia di rumahnya, pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 58 tahun hadir ke Balai Polis Pulau Tikus dalam keadaan kepala berlumuran darah dan mendakwa ditetak oleh seorang lelaki yang dikenalinya.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, berdasarkan maklumat diberikan mangsa, sepasukan polis telah ke sebuah rumah di Solok Codrington kira-kira jam 8.05 pagi bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Ketika tiba di alamat berkenaan, pihak polis menemui seorang lelaki berusia anggaran 68 tahun yang dipercayai suspek dalam kes ini telah meninggal dunia dalam keadaan tergantung di bahagian dapur rumah dengan menggunakan seutas tali.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah ditemui," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan lanjut turut membawa kepada penemuan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu di dalam tong sampah di Pasar Pulau Tikus, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa ditetak.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata.
"Hasil siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada isu kewangan antara mangsa dan suspek," katanya.
Azizee turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga boleh menjejaskan siasatan polis serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Ringkasan AI
- Lelaki warga emas yang terlibat dalam kes tetak rakannya di restoran berhampiran Pasar Pulau Tikus ditemui meninggal dunia di rumahnya
- Mangsa berusia 58 tahun mendakwa ditetak oleh seorang lelaki yang dikenali
- Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan
- Polis menemui suspek berusia anggaran 68 tahun meninggal tergantung di rumahnya
- Kes berpunca daripada isu kewangan antara mangsa dan suspek
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

