Negara Teluk ikrar bertindak balas

RIYADH - Negara-negara Teluk berikrar untuk mempertahankan diri daripada serangan Iran termasuk 'bertindak balas dengan tegas' jika ada keperluan mendesak berbuat demikian.
Kesepakatan itu dicapai selepas Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bersidang melalui pautan video pada Ahad bagi merumuskan respons bersatu.
Para menteri enam negara anggota GCC; Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait turut menilai semula impak kemusnahan harta benda susulan hujan misil berterusan dilancarkan Teheran sejak akhir minggu lalu.
"Kami akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempertahankan keselamatan dan kestabilan serta melindungi kedaulatan negara dan rakyat.
"Kami juga sebulat suara mempertimbangkan pilihan untuk bertindak balas," menurut kenyataan bersama tersebut.
Ia juga menggesa penamatan serta-merta serangan tersebut kerana kestabilan rantau Teluk menjadi tonggak asas keutuhan ekonomi global.
Pada Isnin, kempen pengeboman masih menggegar beberapa bandar di Teluk setelah Iran melancarkan serangan menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara berkenaan selama tiga hari berturut-turut.
Wartawan AFP mengesahkan letupan kuat berlaku di Abu Dhabi, Dubai, Doha, Manama dan Kuwait City.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain mengesahkan kematian terbaharu, sekali gus menjadi jumlah korban di Teluk meningkat kepada lima orang.
Serpihan misil yang ditembak jatuh telah mencetuskan kebakaran pada sebuah kapal asing di bandar pelabuhan Salman dan meragut satu nyawa manakala dua dilaporkan cedera.
Sejak Sabtu lalu, infrastruktur awam, lapangan terbang, pelabuhan, bangunan kediaman dan hotel turut menjadi sasaran kempen serangan Teheran. - Agensi
Ringkasan AI
- Negara-negara Teluk berikrar untuk mempertahankan diri daripada serangan Iran dan bertindak balas jika perlu
- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mencapai kesepakatan respons bersatu melalui sidang video
- Para menteri dari enam negara anggota GCC menilai impak kemusnahan harta benda akibat serangan Iran
- GCC mengutuk serangan tersebut dan menggesa penamatannya demi kestabilan rantau Teluk dan ekonomi global
- Kempen pengeboman Iran menyasarkan pangkalan tentera Amerika di Teluk dan meningkatkan jumlah korban di rantau tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

