Letupan gegar Qatar, UAE, Kuwait ketika konflik masuk hari ketiga

DOHA - Serangan balas Iran ke atas aset Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk memasuki hari ketiga, dengan letupan dilaporkan berlaku di Doha (Qatar), Dubai (UAE) dan kawasan sekitar Kuwait.
Ketegangan meningkat susulan serangan udara oleh AS dan Israel ke atas Iran yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 201 orang di Iran dan mencederakan hampir 750 lagi.
Menurut saksi, asap kelihatan naik ke langit dari kawasan sekitar Kedutaan AS di Kuwait, manakala pertahanan udara Kuwait berjaya menangkis kebanyakan dron yang menyerang kawasan Rumaithiya dan Salwa.
Di UAE, tiga maut, manakala di Qatar sekurang-kurangnya 16 cedera. Seorang dilaporkan maut di Kuwait.
Bahrain mengaktifkan amaran serangan udara, menutup Jambatan Shaikh Khalifa bin Salman dan menasihati penduduk menggunakan jalan utama hanya bila perlu.
Negara-negara Teluk bersama AS mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan hak untuk mempertahankan keselamatan, kestabilan dan rakyat mereka, termasuk pilihan untuk membalas sebarang serangan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan serangan itu adalah serangan balas terhadap AS, dan Teheran tidak berniat menentang negara Teluk lain.
“Kami menyerang sasaran Amerika, bukan jiran-jiran kami,” kata beliau kepada Al Jazeera.
Serangan balas Iran kini memberi kesan besar kepada pelabuhan, penerbangan dan perdagangan di seluruh Teluk, meningkatkan risiko konflik serantau yang lebih meluas. - Agensi
Ringkasan AI
- Serangan balas Iran ke atas aset AS di Teluk memasuki hari ketiga dengan letupan di Doha, Dubai dan sekitar Kuwait
- Ketegangan meningkat susulan serangan udara AS dan Israel mengorbankan 201 orang di Iran, mencederakan 750
- Asap kelihatan naik dari kawasan Kedutaan AS di Kuwait, pertahanan udara berjaya menangkis kebanyakan dron
- Di UAE tiga maut, di Qatar 16 cedera dan di Kuwait seorang maut
- Iran menegaskan serangan balas terhadap AS, tidak berniat menentang negara Teluk lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

