Masih ada individu didapati keluar rumah tanpa tujuan

Datuk Hasanuddin Hasaan
Datuk Hasanuddin Hasaan
A
A
A

KOTA BHARU – Walaupun majoriti rakyat Kelantan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua, namun masih ada segelintir yang masih degil.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebanyak 303 individu yang ingkar arahan PKP ditangkap dari 18 Mac hingga jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, rata-rata mereka yang ditahan memberi pelbagai alasan, malah ada individu didapati keluar rumah tanpa tujuan.

“Ada yang memberikan alasan tidak logik, sedangkan mereka boleh keluar sebelum waktu yang ditetapkan itu.

“Pihak kami berharap agar semua rakyat negeri ini dapat patuh sebaik mungkin dengan segala peraturan yang telah ditetapkan.

"Hanya duduk di rumah, ketua keluarga sahaja keluar bagi memberi barang keperluan harian. Itu pun janganlah keluar setiap hari. Atur perjalanan dengan baik supaya kita tidak terdedah dengan dunia luar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, jalan-jalan utama di beberapa daerah di sini mula lenggang semalam, namun pemantauan tetap dijalankan terutamanya di kawasan kampung yang mempunyai laluan alternatif.

Selain itu, kawasan Kota Bharu juga turut diperketatkan lagi kawalan dari semasa ke semasa memandangkan ia merupakan kawasan zon merah Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hasanuddin turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberikan kerjasama yang baik sepanjang PKP fasa satu dan fasa dua yang bermula semalam.

“Alhamdulillah, pemahaman rakyat dengan PKP ini semakin hari semakin baik dan kami menjangkakan jumlah tangkapan ini akan turun dari semasa ke semasa.

"Jaga diri, duduk di rumah, biar kami jalankan tugas,” katanya.