'Anak-anak berlari memeluk saya tiap kali misil lintas ruang udara' - Rakyat Malaysia di UAE

KUALA LUMPUR - "Anak-anak berlari memeluk saya setiap kali terdengar bunyi misil melintasi ruang udara," kongsi seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebuah negara yang turut terlibat dalam konflik Amerika Syarikat dan Iran ketika ini.
"Ia merupakan hari yang panjang bagi kami semalam (28 Februari). Lintasan misil tanpa henti selama kira-kira 12 jam bermula kira-kira jam 1 tengah hari amat mendebarkan," menurut Nur Hamiza Ahmad, 38, yang mengikut suaminya bertugas di negara itu sejak dua tahun lepas.
"Anak-anak ketakutan... tidur juga tidak terlena akibat gegaran... sesekali menangis sambil menutup telinga. Mereka tidak mahu tidur di bilik mereka sendiri. Kami tidur berpelukan bersama siri dentuman misil malam tadi," kata ibu tiga anak itu ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Namun, Nur Hamiza berkata, dua anaknya yang sudah bersekolah, masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun, cuba memahami apa yang berlaku dengan bersama-sama membaca dan menonton berita berkaitan konflik itu.
Beliau berkata, sekolah di negara itu akan menjalankan kelas secara dalam talian selama tiga hari bermula 2 Mac sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan di rantau Timur Tengah.
Angkatan tentera udara dan pasukan pertahanan udara UAE berjaya memintas dan memusnahkan 137 peluru berpandu balistik dan 209 dron yang dilancarkan ke arah wilayah negara itu sejak bermulanya serangan Iran, menurut Kementerian Pertahanannya.
Kementerian menyatakan bahawa sejak permulaan serangan, 137 peluru berpandu balistik Iran yang dilancarkan ke arah UAE telah dikesan, yang 132 daripadanya berjaya dimusnahkan, manakala lima lagi jatuh ke dalam laut.
Sebanyak 209 dron Iran turut dikesan; 195 telah dipintas, manakala 14 jatuh di dalam wilayah dan perairan negara, menyebabkan kerosakan sampingan yang kecil.
Ia menyatakan bahawa, hasil daripada pemintasan berkesan peluru berpandu dan dron itu, beberapa serpihan jatuh di kawasan berasingan di seluruh negara, membawa kepada kerosakan material kecil pada sebilangan kemudahan awam.
Menurut Nur Hamiza, beliau dan rakan senegara telah melakukan persiapan sekiranya perlu dipindahkan seperti menempatkan dokumen diri yang penting di dalam beg dan diletakkan berdekatan dengan pintu utama rumah masing-masing.
Diminta menggambarkan suasana di kediaman beliau di Khalifa City yang berada kurang 10 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, Nur Hamiza berkata, "Keadaan jalan raya lengang."
"Masing-masing mematuhi arahan pihak berkuasa agar tidak berada di tempat lapang dikhuatiri terkena serpihan peluru berpandu," katanya.
Beliau berkata, mereka juga masih boleh membeli keperluan harian di pasar raya berdekatan atau secara dalam talian dan tiada keadaan pembelian panik.
"Kami juga masih boleh mengeluarkan wang di Mesin Teler Automatik (ATM)," katanya, sambil menyatakan harapan tinggi agar peperangan ini segera berakhir.
Abu Dhabi Airports pada Ahad memaklumkan bahawa satu insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed, mengakibatkan seorang maut dan tujuh cedera.
Dalam satu hantaran di platform media sosial X, pengendali lapangan terbang itu mengesahkan bahawa mangsa yang meninggal dunia adalah seorang berketurunan Asia, manakala mereka yang cedera menerima bantuan perubatan.
"Orang ramai diminta mengelak daripada menyebarkan khabar angin dan hanya merujuk kepada sumber rasmi. Kemas kini akan diberikan," menurut Abu Dhabi Airports.
Pada Sabtu, tentera Iran melancarkan serangan ke atas empat tapak ketenteraan AS di Qatar, Bahrain, Kuwait dan UAE sebagai tindak balas terhadap serangan bersama AS-Israel di seluruh Iran.
Sasaran termasuk Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, Pangkalan Udara Al Salem di Kuwait, Pangkalan Udara Al Dhafra di UAE serta armada tentera laut AS di Bahrain.
AS dan Israel mula melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran pada hari yang sama, termasuk di ibu negara Tehran, ketika ketegangan antara negara terbabit memuncak menjadi konflik terbuka.
Gelombang peluru berpandu turut dilancarkan oleh tentera Iran ke arah Israel. - Bernama
Ringkasan AI
- Rakyat Malaysia di Abu Dhabi mengalami ketakutan ketika misil melintas di ruang udara akibat konflik Amerika Syarikat dan Iran
- Sekolah di UAE menjalankan kelas dalam talian sebagai langkah berjaga-jaga
- Angkatan tentera udara dan pasukan pertahanan udara UAE memusnahkan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke arah wilayahnya
- Warga Malaysia membuat persiapan untuk dipindahkan dengan meletakkan dokumen penting berdekatan pintu
- Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed mengalami insiden yang mengakibatkan seorang maut dan tujuh cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
