Dua syarikat diarah tutup ingkar PKP

Rosli menampal notis penutupan operasi di sebuah syarikat di Bukit Cina di sini, hari ini.
Rosli menampal notis penutupan operasi di sebuah syarikat di Bukit Cina di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Helah dua syarikat kewangan yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya dihidu Jabatan Tenaga Kerja negeri sebelum diarah tutup serta merta.

Syarikat yang berlokasi masing-masing di Bukit Beruang dan Bukit Cina itu menggunakan modus operandi dengan menutup semua pintu pejabat seolah-olah syarikat mereka tidak beroperasi.

Pengarahnya, Rosli Jantan berkata, pada awalnya syarikat terbabit akur arahan polis namun selepas PKP dilanjutkan sehingga 14 April lalu majikan telah mengarahkan pekerja hadir secara bergilir-gilir.

Menurutnya, siasatan mendapati syarikat ini telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5(2) dan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana beroperasi tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan dan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Rosli menggempur sebuah syarikat perunding kewangan di Bukit Cina beroperasi dalam tempoh PKP.
Rosli menggempur sebuah syarikat perunding kewangan di Bukit Cina beroperasi dalam tempoh PKP.

"Bertindak atas maklumat dan aduan satu operasi siasatan telah dijalankan oleh pasukan penguat kuasa, polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melaka

"KIta mengeluarkan notis penutupan segera dan semua pekerja diarah pulang. Sekiranya majikan syarikat terbabit masih berdegil dengan membuka operasinya, tindakan susulan akan dibuat mengikut undang-undang sedia ada," katanya ketika ditemui selepas operasi itu di Bukit Cina, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua majikan di negeri itu perlu mematuhi peraturan PKP dan tidak menjalankan sebarang operasi kecuali mendapat kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Semua majikan dan syarikat sama ada beroperasi atau tidak perlu mematuhi garis panduan PKP dan pembayaran gaji kepada pekerja sama ada mereka hadir bekerja atau berada di rumah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata, pihaknya menerima lebih 320 aduan setiap minggu melibatkan 396 pelbagai isu aduan di sepanjang tempoh PKP bagi fasa pertama.

"Aduan yang diterima melalui panggilan dan e-mel itu melibatkan antara isu seperti pemberhentian kerja, cuti dan waktu bekerja serta pengiraan gaji," katanya.