KWSP belum buat keputusan mengenai tawaran Sunway ambil alih IJM

Ahmad Zulqarnain (tengah) ketika mengumumkan dividen KWSP 2025, pada Sabtu
Ahmad Zulqarnain (tengah) ketika mengumumkan dividen KWSP 2025, pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) belum membuat keputusan mengenai tawaran pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM) oleh Sunway Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ini kerana ada pelbagai perkara yang perlu diteliti.

“Berkenaan dengan tawaran Sunway terhadap IJM, kita belum membuat keputusan lagi.

“Kita masih menunggu penilaian bebas selesai dan dibentangkan pada 16 Mac dan kita akan buat pertimbangan sebaiknya,” katanya ketika Taklimat Prestasi Kewangan KWSP di Menara KWSP, Kwasa Damansara di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan KWSP berhubung tawaran tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Sunway mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion.

Tawaran itu mencetuskan pelbagai reaksi memandangkan IJM sekian lama menjadi platform penyertaan institusi berkaitan bumiputera dalam sektor pembinaan, lebuh raya, pelabuhan dan infrastruktur berasaskan konsesi.

KWSP kekal sebagai pemegang saham terbesar IJM dengan pegangan 20.12 peratus atau 705.28 juta saham setakat 19 Januari, meningkat daripada 18.17 peratus pada akhir 2024.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia – Dewan Muda (DPMM Dewan Muda) sebelum ini menegaskan cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway bukan urus niaga korporat biasa atau sekadar keputusan Lembaga Pengarah kerana melibatkan isu kepentingan negara.

Artikel Berkaitan:

Pengerusinya, Hisham Abdul Hamid berkata, kerajaan khususnya Perdana Menteri wajar campur tangan dan mempertimbangkan supaya urusniaga ini ditangguhkan sementara untuk penelitian yang lebih menyeluruh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!