Tarawih bergantung tempoh PKP: Zulkifli

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

MELAKA TENGAH - Solat tarawih tahun ini tidak mustahil boleh dilakukan di masjid atau surau jika rakyat terus patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghentikan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, bagaimanapun kebenaran itu bergantung kepada tempoh PKP fasa kedua yang dijangka berakhir pada 14 April ini.

Menurutnya, selepas PKP fasa kedua tamat terdapat 10 hari berbaki sebelum umat Islam menyambut Ramadan dan dalam tempoh itu keputusan berhubung solat tarawih di masjid atau surau akan dimuktamadkan.

"Sudah pasti keputusan yang bakal diumumkan itu seiring dengan kehendak kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

"Kita bergantung kepada apa yang akan diputuskan selepas PKP kali kedua. Kita akan ada masa 10 hari untuk menyambut Ramadan," katanya kepada pemberita selepas Perjumpaan Khas dan Amanat beliau bersama wakil Agensi Agama Negeri Melaka di Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah di sini, hari ini.

Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid ketika Perjumpaan khas dan Amanat beliau bersama wakil Agensi Agama Negeri Melaka di Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah hari ini
Zulkifli menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid ketika Perjumpaan khas dan Amanat beliau bersama wakil Agensi Agama Negeri Melaka di Pejabat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Bukit Palah hari ini

Hadir sama, Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk, Azahan Md Samat dan Setiausaha MAIM, Azman Aziz.

Terdahulu, Zulkifli menyampaikan sumbangan Tabung Musaadah Covid19 berjumlah RM50,000 kepada MAIM yang diwakili Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali untuk disalurkan kepada rakyat Melaka yang memerlukan bantuan sepanjang PKP.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, jika tarawih dapat dilaksanakan, beliau yakin terdapat ketetapan syarat yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) supaya Malaysia benar-benar bebas wabak Covid-19.

"Apabila tamat PKP bermakna kita hidup seperti biasa tetapi mungkin ada panduan daripada KKM contohnya jarak sosial, penggunaan cecair pembasmi kuman dan memakai penutup mulut.

"Di peringkat negeri, kita serahkan kepada kerajaan negeri," katanya.