Pegawai Imigresen patah kaki dirempuh dalam serbuan pusat hiburan

Pegawai Imigresen yang patah kaki kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
Pegawai Imigresen yang patah kaki kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai Imigresen cedera patah kaki kiri selepas dirempuh warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang di sini pada Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi bermula 3.15 pagi itu, segelintir pengunjung bertindak agresif ketika dalam kelam-kabut di tangga premis sehingga pegawai itu terjatuh. 

"Ada individu cuba melarikan diri sehingga salah seorang pegawai Imigresen dirempuh oleh pengunjung yang menyebabkan pegawai terjatuh dan cedera.

"Saya dimaklumkan pegawai perkenaan patah kaki dan dia sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen Malaysia di sini pada Khamis.

Zakaria berkata, keadaan pegawai itu stabil dan mungkin mengambil masa untuk pulih.

"Pegawai itu akan membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut," katanya.

Operasi itu membabitkan 85 pegawai dan anggota termasuk 15 daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dengan 48 daripada 98 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan ialah tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dengan mereka terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan beberapa negara Afrika.

Dua lelaki Nigeria ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai pengacara lagu (DJ).

Artikel Berkaitan:

Mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Kebanyakan pengunjung dalam keadaan dipengaruhi alkohol ketika pemeriksaan dijalankan.

Siasatan awal juga mendapati premis itu menggunakan khidmat wanita warga asing yang menerima tempahan dan menetapkan kadar bayaran melalui telefon.

Semua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pegawai Imigresen Malaysia cedera selepas dirempuh seorang warga asing dalam operasi penguatkuasaan di Bukit Bintang
  • Pegawai itu disyaki patah kaki kiri dan suspek melarikan diri
  • Operasi melibatkan 85 pegawai dan anggota termasuk 15 dari Pasukan Taktikal Khas dengan 48 warga asing ditahan
  • Dua lelaki Nigeria ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas pelajar dengan bekerja sebagai DJ
  • Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!