KPT laksana sistem 'single window', 'single offer' elak pertindihan tawaran ke pendidikan tinggi

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan sistem single window, single offer bagi permohonan kemasukan ke matrikulasi dan universiti awam (UA) untuk mengelakkan pertindihan tawaran kepada pelajar.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, menerusi sistem itu, pelajar yang memohon hanya akan menerima satu tawaran sahaja berdasarkan keputusan terbaik dan sistem meritokrasi yang ditetapkan.
"Kalau sebelum ini kita mempunyai sistem single window sahaja tetapi ia tak ada single offer (tawaran tunggal). Sebab itu kalau kita lihat kebiasaannya ada pelajar yang mendapat tawaran daripada matrikulasi, dia juga mendapat tawaran daripada universiti.
"Kali ini, kita akan melaksanakan satu sistem sahaja iaitu yang dipanggil sebagai sistem single window, single offer yang disekalikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai penyeragaman kurikulum dan standard penilaian antara matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Zambry berkata, mekanisme penggredan bagi ketiga-tiga institusi itu kekal seperti sedia ada iaitu sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang dipantau oleh lembaga-lembaga berkaitan.
"Maksudnya, tidak akan ada perubahan kerana kita membuat penilaian yang sama, dan dalam konteks STPM, Majlis Peperiksaan Malaysia akan terus membuat penilaian penggredan.
"Matrikulasi dan asasi (juga) kekal dengan sistem penilaian yang sedia ada, yang dikendalikan oleh lembaga-lembaga yang telah dilantik untuk menguruskan sistem tersebut,” katanya.
Menjawab soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu pelan tuntas pemindahan pengurusan Program Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) kepada KPT, Zambry berkata, langkah sewajarnya sedang dirangka bagi tujuan pemindahan itu termasuk urusan berkaitan perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.
"Dalam konteks kebajikan, KPT akan memastikan prinsip ‘No Less Favourable’ akan dirujuk.
"Justeru, proses pemindahan tadbir urus ini akan diperhalusi dengan teliti oleh Jawatankuasa Pemandu Bersama Tingkatan 6 dan Matrikulasi antara KPT dan KPM, dibantu oleh agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi memastikan pemindahan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Menurut Zambry, dari sudut penamatan pertindihan birokrasi dan penjimatan kos, penyeragaman di bawah KPT dijangka mengurangkan pertindihan fungsi antara kedua-dua kementerian, khususnya dalam aspek perancangan kurikulum, pentaksiran, pengurusan kemasukan dan pemantauan kualiti.
"Penyatuan tatakelola ini membolehkan perkongsian sumber, penyeragaman sistem data dan kos operasi yang optimum tanpa menjejaskan kebajikan pelajar atau kualiti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff berhubung jaminan terhadap skim perkhidmatan dan senioriti pensyarah matrikulasi serta pengambilan pelajar baharu, Zambry berkata, perbincangan lanjut telah diadakan bersama JPA bagi merangka skim sedia ada di peringkat KPM untuk dipindahkan ke KPT.
Beliau berkata, proses itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa perancangan dan persediaan sepanjang tahun ini serta fasa pelaksanaan pengoperasian program matrikulasi yang akan bermula pada 2027.
Zambry berkata, perkara itu memerlukan pindaan beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pendidikan 1996 dan Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980.
Pada sidang media di Bangunan Parlimen selepas itu, Zambry berkata, sistem single window, single offer bagi permohonan kemasukan ke matrikulasi dan universiti awam dijangka dilaksanakan pada tahun depan.
"Tahun depan kita jangkakan dapat kita laksanakan penyelarasan sebab kalau dah selesai semua di peringkat pertama yang berkaitan dengan soal-soal teknikal dan pengurusan," katanya dan menambah peringkat pertama itu akan turut melibatkan aspek perundangan.
Mengulas mengenai pemindahan pengurusan program matrikulasi daripada KPM kepada KPT, Zambry berkata, perkara itu diharap dapat diselesaikan pada tahun ini.
"Hal ini melibatkan guru-guru yang sedang mengajar di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mereka mempunyai skim gaji yang berbeza, apakah nanti skim gaji itu akan diteruskan atau mereka dianggap sebagai pensyarah.
"Namun apa yang saya mahu tekankan di sini, matrikulasi dan STPM itu ialah prauniversiti dan kita tidak boleh anggap ia skim universiti tetapi mungkin ada perkara teknikal perlu kita lihat sama ada pergerakan gajinya bagaimana," katanya.
Beliau berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada pihak jawatankuasa KPT serta KPM yang telah ditubuhkan sebelum ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Tinggi akan melaksanakan sistem single window, single offer bagi permohonan kemasukan ke matrikulasi dan universiti awam
- Sistem tersebut memastikan pelajar hanya menerima satu tawaran sahaja berdasarkan meritokrasi
- Mekanisme penggredan untuk matrikulasi, asasi, dan STPM kekal menggunakan sistem PNGK
- Pemindahan pengurusan Program Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi sedang dirangka
- Sistem single window, single offer dijangka dilaksanakan pada tahun depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
