Tiada duit, dua lelaki ingkar PKP mohon dipenjara

Seramai 12 lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kampar hari ini masing-masing atas dua pertuduhan ingkar PKP dan menghalang tugas penjawat awam.
Seramai 12 lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kampar hari ini masing-masing atas dua pertuduhan ingkar PKP dan menghalang tugas penjawat awam.
A
A
A

KAMPAR - Dua lelaki merayu kepada Mahkamah Majistret Kampar hari ini agar hanya dikenakan hukuman penjara selepas tidak mempunyai wang bagi membayar denda atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kedua-dua tertuduh berusia 36 dan 40 tahun dari Chenderiang, Tapah memberitahu mahkamah bahawa mereka sudah tidak mempunyai pendapatan kerana tidak lagi bekerja sepanjang tempoh PKP ini.

Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh kemudiannya mengenakan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh tangkapan iaitu 30 Mac lalu selepas kedua-duanya mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka bersama seorang lagi lelaki didapati telah berhimpun di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan bagi maksud sosial di Jalan Utama Kopisan, Gopeng kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Seramai 12 lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kampar hari ini masing-masing atas dua pertuduhan ingkar PKP dan menghalang tugas penjawat awam.
Seramai 12 lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kampar hari ini masing-masing atas dua pertuduhan ingkar PKP dan menghalang tugas penjawat awam.

Rakan mereka berusia 41 tahun dikenakan denda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Di bawah pertuduhan sama, tujuh lelaki turut mengaku bersalah selepas didapati telah berhimpun bagi maksud sosial di tepi lorong rumah kedai Jalan Kampar Barat 6, Taman Kampar Barat kira-kira jam 11 malam pada 30 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Enam daripada mereka berusia 23 hingga 34 tahun dikenakan denda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Sementara seorang lagi berusia 25 tahun diperintahkan menjalani hukuman penjara 14 hari dan denda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Di mahkamah sama, Nur Faizah turut mengenakan denda RM5,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal bayar terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah menghalang tugas seorang penjawat awam dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 37.6 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur kira-kira jam 7.30 malam, 30 Mac lalu.

Kedua-dua mereka berusia 36 dan 46 tahun yang menaiki sebuah kereta dari Mambang Diawan berdegil mahu meneruskan perjalanan menghala ke Pekan Kampar meskipun telah diberi tiga kali amaran agar berpatah balik.

Kedua-dua tertuduh juga membuat provokasi terhadap anggota polis bertugas dengan enggan memberi kad pengenalan diri untuk diperiksa.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norashikin Hassanor sementara 12 tertuduh diwakili Peguam Siti Hajar Hamzah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).