Kor Ming terima teguran, sedia jumpa wakil media selesai kemelut

Nga Kor Ming. Foto Bernama
Nga Kor Ming. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menerima dengan hati terbuka teguran berhubung insiden yang berlaku ketika sidang media pra-pelancaran program pencahayaan “I Lite U” baru-baru ini.

Dalam hantaran menerusi Facebook pada Sabtu, beliau berkata, kekhilafan yang berlaku akan dijadikan pengajaran dan menegaskan komitmennya untuk terus menghormati kebebasan media di negara ini.

“Sebagai pemimpin, saya tidak pernah berniat menyinggung mana-mana pihak terutamanya wartawan yang menjadi tunggak informasi Kerajaan Madani,” katanya.

Dalam masa sama, Kor Ming turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas sokongan mereka dalam usaha menyampaikan inisiatif KPKT kepada rakyat.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu berkenaan secara baik dan berhemah.

"Saya dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur," jelas beliau lagi.

Sebelum ini, tular rakaman video di sebuah acara memaparkan Kor Ming dengan nada sedikit keras menjawab pertanyaan seorang wakil media berkaitan nama acara berkenaan yang menggunakan bahasa Inggeris.

Tindakan menteri itu bagaimanapun menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm). - Awani

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Menteri KPKT, Nga Kor Ming, menerima teguran atas insiden di sidang media program "I Lite U"
  • Beliau berjanji menjadikan kekhilafan tersebut sebagai pengajaran dan berkomitmen menghormati kebebasan media
  • Nga menyatakan tidak berniat menyinggung pihak wartawan dan menghargai sokongan media
  • Beliau bersedia bertemu dengan pihak media yang terlibat untuk menyelesaikan isu
  • Insiden tersebut berlaku apabila Kor Ming menjawab soalan dengan nada keras di acara tersebut, menerima kecaman dari NUJM dan Geramm

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!