Remaja bantu polis cekup empat lelaki curi kabel

TAIPING – Tindakan pantas seorang remaja menyalurkan maklumat kepada polis membawa kepada penahanan empat lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan mencuri kabel di Jalan Kamunting–Batu Kurau, berhampiran Kolej Vokasional Taiping awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Kamunting sedang melakukan rondaan pencegahan jenayah sebelum dimaklumkan oleh remaja berkenaan mengenai sekumpulan lelaki mencurigakan yang dilihat membuka penutup lubang kabel di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya berjaya menahan empat suspek yang sedang leka membuka penutup lubang kabel terbabit.
“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan khas yang dipercayai digunakan untuk tujuan itu, termasuk dua bilah parang, dua pemutar skru serta sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Beliau berkata, semua suspek merupakan warga tempatan berusia antara 38 hingga 41 tahun dan telah direman selama tiga hari sehingga 17 November bagi membantu siasatan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri,” katanya.
Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada remaja yang tampil menyalurkan maklumat tersebut, sekali gus membantu usaha membanteras jenayah di daerah ini.
Katanya, masyarakat disaran terus bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
“Setiap perlakuan jenayah pasti menimbulkan kebimbangan masyarakat.
“Polis akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan daerah ini kekal selamat didiami dan dilawati,” katanya.
Ringkasan AI
- Remaja menyalurkan maklumat kepada polis berjaya halang cubaan mencuri kabel di Taiping
- Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat saat sedang membuka penutup lubang kabel
- Empat suspek ditemui dengan peralatan khas untuk mencuri termasuk dua bilah parang dan pemutar skru
- Suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 38 hingga 41 tahun
- Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

