'Permohonan ahli Bersatu kembali kepada UMNO diputuskan MKT' - Ahmad Maslan

PONTIAN – Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ingin kembali menyertai UMNO tidak boleh diterima secara terus oleh bahagian, sebaliknya permohonan mereka perlu dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terlebih dahulu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan mengenai penyertaan semula ahli Bersatu adalah urusan MKT kerana membabitkan keputusan dasar parti.
“Jika ada permohonan daripada ahli-ahli Bersatu untuk masuk kembali ke UMNO, keputusan akhir perlu dibuat oleh MKT.
"Saya ingin tegaskan ini ialah isu nasional yang melibatkan dasar dan kedudukan ahli-ahli parti. MKT akan dijadualkan pada Khamis depan (26 Februari). Saya akan membawa isu ini dalam MKT.
"Bagaimanapun, UMNO tegas memperkukuh kedudukan parti berlandaskan kekuatan sendiri dan bukan atas kelemahan orang lain," katanya.
Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata demikian selepas Majlis Serahan Siap Kerja Program Rumah Sejahtera Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Kampung Baru Parit Lapis Sayang, Benut di sini pada Jumaat.
Pada Khamis, UMNO Johor menyeru ahli Bersatu negeri itu kembali kepada wadah asal perjuangan Melayu susulan krisis dalaman parti itu sehingga menyebabkan 11 bahagian mengumumkan pembubaran pada Rabu.
Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar berkata, seruan itu sejajar dengan gagasan Rumah Bangsa yang digagaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menghimpunkan semula kekuatan Melayu di bawah satu kepimpinan yang stabil dan diyakini rakyat.
Mengulas lanjut Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, kedudukan Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat masih menjadi tanda tanya selepas beberapa pemimpin dipecat daripada parti masing-masing.
Beliau menjelaskan, keputusan mengenai siapa yang akan memegang jawatan tersebut adalah hak parti masing-masing dan pihak kerajaan tidak boleh campur tangan.
"Kami belum mendengar sebarang keputusan daripada mereka. Ini hal mereka, bukan kita. Sama ada mereka kekal atau diganti, terpulang kepada blok pembangkang sendiri,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Projek Perumahan Rakyat Sejahtera KKDW, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, projek berkenaan terus memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan ibu tunggal.
Jelas beliau, program itu dilaksanakan oleh GiatMARA Pontian dengan sasaran menyediakan rumah selesa kepada mereka yang layak.
Ringkasan AI
- Permohonan ahli Bersatu yang ingin menyertai semula UMNO perlu dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO
- Keputusan mengenai penyertaan semula ahli Bersatu adalah urusan MKT UMNO
- UMNO mengutamakan pengukuhan parti berdasarkan kekuatan sendiri
- UMNO Johor menyeru ahli Bersatu kembali menyertai UMNO susulan krisis dalaman parti Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

