Covid-19: Sidang Parlimen perlu ikut jadual ditetapkan

Muhammad Faiz Fadzil.
Muhammad Faiz Fadzil.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen Ke-14 perlu mengikut jadual ditetapkan pada 18 Mei ini berikutan wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda negara hari ini memerlukan satu penyelesaian tuntas dan komprehensif.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, banyak seksyen yang terkesan bukan sahaja kesihatan tetapi tadbir urus, sosial dan ekonomi rakyat akibat wabak berkenaan.

Menurutnya, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) juga menjangkakan 2.4 juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan kerana kurangnya insentif kerajaan bagi membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam merangsang perniagaan mereka.

“Ekonomi rakyat hari ini lumpuh akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan paling terkesan ialah peniaga kecil dan sederhana. PKS ini mewakili 98 peratus perniagaan negara dan kebanyakan mereka dalam kalangan B40 yang memerlukan pembelaan.

“Walaupun kerajaan memberikan insentif sebanyak RM600 sebulan namun masih tidak mencukupi kerana krisis ekonomi ketika ini tidak akan tamat dalam tempoh tiga bulan ini sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan Parlimen akan bersidang seperti dijadualkan iaitu pada 18 Mei ini dalam satu kenyataan dikeluarkannya semalam.

Muhammad Faiz berkata, penetapan tarikh itu tidak boleh lagi diubah atau ditangguhkan kepada tarikh baharu walaupun tarikh akhir Persidangan Dewan Rakyat pada 4 Jun depan.

Sementara itu, beliau menganggap pentadbiran yang lemah hari ini juga menjadi antara punca menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan makanan dan ramai petani dan nelayan rugi kerana tidak dapat memasarkan produk tani mereka.

Artikel Berkaitan:

Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu berkata, perkara itu berlaku kerana penutupan pasar tani, gerai jualan dan sebagainya yang memberikan kesan kepada pendapatan golongan berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak dua minggu lalu.

“Sebab itu, Perintah Kawalan Pergerakan memerlukan sokongan semua rakyat supaya wabak ini tamat segera dan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan,” katanya.