Harap pengerusi baharu mampu kukuhkan PN - Bersatu Kelantan

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan berharap pengerusi baharu yang bakal dilantik pada Ahad ini mampu mengukuhkan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, tindakan itu penting bagi memastikan PN mampu mendepani arena politik tanah air yang semakin mencabar ketika ini.
"Tidak kira siapa (yang dilantik sebagai Pengerusi PN), yang penting ia perlu memberi tumpuan kepada membina kesatuan dan kekuatan parti," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, Bersatu Kelantan turut berharap pengerusi baharu itu mampu kukuhkan PN di negeri ini.
Katanya, hal ini kerana kebanyakan rakyat masih belum mengenali PN secara jelas terutama di kawasan luar bandar.
Beliau melihat usaha itu perlu diteruskan bagi memastikan kehadiran PN diterima sebaik mungkin oleh rakyat di negeri ini.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, jawatan Pengerusi PN bakal ditentukan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu yang dijadual berlangsung Ahad ini.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mesyuarat khas berkenaan sudah ditetapkan pada 22 Februari ini, jam 3 petang di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur.
Katanya, mesyuarat tersebut diadakan khusus bagi membincangkan dua agenda utama termasuk meluluskan peletakan jawatan Pengerusi PN oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini serta melantik pengerusi baharu bagi menerajui gabungan berkenaan.
Ringkasan AI
- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan berharap pengerusi baharu PN mampu mengukuhkan Perikatan Nasional
- Pengerusi baharu dijangka memberi tumpuan kepada pembinaan kesatuan dan kekuatan parti
- Bersatu Kelantan mahu pengerusi baru kukuhkan PN di negeri tersebut kerana banyak rakyat luar bandar belum mengenali PN
- Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN untuk menentukan pengerusi baru dijadualkan Ahad ini
- Mesyuarat tersebut akan membincangkan meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan melantik pengerusi baru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

