X

Kindly register in order to view this article
!

Tabung CovidSinar terima 8,000 sarung tangan

Petugas CovidSinar menyusun peralatan perubatan untuk diagihkan bagi membantu petugas barisan hadapan Covid-19. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

SHAH ALAM - Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) menerima 8,000 pasang sarung tangan hasil sumbangan orang ramai hari ini.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, pihaknya menerima 800 kotak sarung tangan daripada pembekal hari ini dan akan diagihkan kepada klinik-klinik kesihatan mengikut keperluan masing-masing.

Menurutnya, selain sarung tangan, pihaknya turut menerima 7,000 pasang ‘boot cover’ dan 400 liter cecair pembasmi kuman untuk kegunaan petugas kesihatan dalam mengendali kes saringan wabak koronavirus (Covid19) di klinik-klinik kesihatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kesemua barangan ini kita pesan semalam dan alhamdulillah mereka menghantarnya hari ini. Sebahagian daripadanya akan diagihkan hari ini juga manakala selebihnya esok dan seterusnya.

“Jadi menerusi sumbangan yang diterima kami akan memastikan kesemua barangan keperluan petugas kesihatan sentiasa tersedia di pusat operasi dan pengumpulan kami di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Auzani berkata, sebelum ini sebanyak 7,500 pasang sarung tangan telah diagihkan ke beberapa klinik kesihatan termasuklah di kawasan zon merah sejak Jumaat lalu.

Katanya, sarung tangan merupakan salah satu keperluan utama yang amat diperlukan petugas kesihatan dalam mengendalikan kerja-kerja saringan Covid-19 selain peralatan perlindungan diri (PPE), topeng muka dan juga cecair pembasmi kuman.

“Alhamdulillah kesemua 20,000 topeng muka yang diagihkan semalam telah dimanfaatkan oleh klinik-klinik kesihatan terbabit, malah kemudahan khemah yang disediakan juga sudah mula digunakan.

“Justeru, kita mengharapkan rakyat Malaysia untuk terus bersama-sama kami membantu petugas-petugas kesihatan dalam membendung penularan wabak Covid-19 ini di negara kita,” katanya.

Kerja-kerja membina khemah di sebuah klinik kesihatan di Kepong, Kuala Lumpur hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung CovidSinar.
Kerja-kerja membina khemah di sebuah klinik kesihatan di Kepong, Kuala Lumpur hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung CovidSinar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!