Radzi Jidin, Peja dilantik jalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu

Mesyuarat MPT Bersatu bersetuju melantik Mohd Radzi (kiri) dan Ahmad Faizal untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden.
Mesyuarat MPT Bersatu bersetuju melantik Mohd Radzi (kiri) dan Ahmad Faizal untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Khas Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara bersetuju melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia satu tindakan yang perlu diambil dan pilihan terbaik buat masa ini dalam usaha untuk memulihkan perpaduan dan menyelamatkan parti.

"Maka, Mesyuarat Khas MPT Bersatu hari ini sepakat untuk terus menyokong perjuangan Bersatu, membina semula parti, memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli dan memperkuatkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Saya dengan ini menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang sementara barisan kepimpinan yang bersama-sama saya pada hari ini mengemudi parti kembali ke landasan perjuangannya yang asal untuk membela nasib rakyat.

"Dengan semangat kebersamaan ahli Bersatu dan kesetiaan kepada perjuangan parti, saya yakin kita akan dapat mengharungi apa jua cabaran atau dugaan yang melanda parti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu dibuat selepas parti mengadakan Mesyuarat Khas MPT Bersatu di kediaman rasminya di Bukit Damansara, di sini.

Muhyiddin memaklumkan, mesyuarat tersebut membincangkan langkah-langkah untuk memperkukuhkan Bersatu susulan tindakan disiplin yang diambil terhadap beberapa ahli parti.

Beliau berpendapat, disiplin sebahagian daripada mekanisme yang ada di dalam perlembagaan untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh.

Jelasnya lagi, ia bukan satu tindakan yang boleh diambil sewenang-wenangnya terutama apabila melibatkan pemimpin kanan parti.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum tindakan disiplin diambil, pelbagai usaha dilakukan untuk mencari titik perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan serta perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat.

"Namun, usaha ini tidak berhasil. Malah, terdapat segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti dengan tujuan mahu memecahbelahkan dan menggagalkan matlamat perjuangan Bersatu," katanya.

Sebagai Presiden serta Pengasas Bersatu, kata Muhyiddin, beliau memiliki tanggungjawab untuk memastikan parti terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangannya yang sebenar.

"Saya dan ramai lagi yang terlibat dalam perjuangan Bersatu sejak dari awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Selama bertahun-tahun saya mengambil sikap berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan daripada parti sendiri.

"Saya juga telah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada orang-orang yang saya tahu menentang saya," katanya.

Bukan itu sahaja, menurut Ahli Parlimen Pagoh tersebut, beliau sentiasa bersangka baik demi satu tujuan iaitu memastikan Bersatu terus bersatu padu, kukuh dan dapat menjayakan tujuan serta matlamat perjuangan parti yang murni.

"Malangnya usaha saya ini tidak dihargai oleh mereka. Malah, segala tindakan yang bercanggah dengan perlembagan dan disiplin parti dilakukan secara berterusan.

"Jika dibiarkan, perbuatan ini akan merosakkan parti dan mengecewakan ahli-ahli Bersatu yang setia dengan perjuangan parti," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Mesyuarat Majlis Khas Pimpinan Tertinggi Bersatu melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Timbalan Presiden
  • Tujuan pelantikan untuk memulihkan perpaduan dan menyelamatkan parti
  • Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan menyokong perjuangan parti
  • Mesyuarat membincangkan langkah-langkah menguatkan parti susulan tindakan disiplin terhadap beberapa ahli
  • Muhyiddin mengambil sikap berhemah menghadapi sabotaj dalaman dan tekanan dalam parti, menegaskan usahanya untuk memastikan parti kukuh dan bersatu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!