Belgium lumpuh, rakyat protes rancangan kerajaan kurangkan perbelanjaan

Lapangan Terbang Brussels membatalkan semua penerbangan berlepas selepas pekerja keselamatan menghentikan tugas. Gambar hiasan
Lapangan Terbang Brussels membatalkan semua penerbangan berlepas selepas pekerja keselamatan menghentikan tugas. Gambar hiasan
A
A
A

BRUSSELS – Puluhan ribu rakyat Belgium menyertai mogok nasional pada Selasa sebagai bantahan terhadap langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan yang dikatakan menjejaskan kebajikan rakyat, termasuk cadangan reformasi pencen dan pembekuan kenaikan gaji.

Tunjuk perasaan berskala besar dijangka diteruskan di ibu negara Brussels dengan perkhidmatan awam terus terjejas teruk.

Lapangan Terbang Brussels telah membatalkan semua penerbangan berlepas selepas pekerja keselamatan menghentikan tugas, manakala Lapangan Terbang Charleroi yang merupakan hab utama syarikat Ryanair turut lumpuh akibat kekurangan kakitangan.

Perkhidmatan pengangkutan awam seperti kereta api bawah tanah, tren dan bas di Brussels turut terjejas dengan gangguan serta pembatalan perkhidmatan.

Polis menasihatkan orang ramai agar mengelak berada di kawasan pusat bandar dan menggunakan kenderaan persendirian sekiranya perlu.

Mogok ini adalah yang terbaharu sejak Perdana Menteri, Bart De Wever, seorang nasionalis Flemish, mengambil alih tampuk pemerintahan pada Februari lalu.

Kerajaan kini berdepan tekanan besar selepas gagal membentangkan belanjawan pada Isnin, memaksa penangguhan ucapan penting Perdana Menteri di Parlimen.

Kesatuan pekerja menolak rancangan kerajaan untuk langkah penjimatan yang disifatkan membebankan golongan pekerja.

Jurucakap Kesatuan Pekerja CSC berkata, kerajaan menjanjikan pekerjaan mampan dan peningkatan kuasa beli hanyalah omong kosong.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan turut berhasrat meningkatkan perbelanjaan pertahanan selaras dengan tekanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) agar negara ahli memperkukuh keupayaan ketenteraan.

Ringkasan AI

  • Puluhan ribu rakyat Belgium menyertai mogok nasional sebagai bantahan terhadap langkah kerajaan mengurangkan perbelanjaan yang menjejaskan kebajikan
  • Perkhidmatan awam di Brussels terus terjejas termasuk pembatalan semua penerbangan berlepas di Lapangan Terbang Brussels
  • Perkhidmatan pengangkutan awam di Brussels turut terjejas dengan gangguan serta pembatalan perkhidmatan
  • Mogok ini berlaku sejak Perdana Menteri, Bart De Wever, mengambil alih tampuk pemerintahan pada Februari lalu
  • Kerajaan berhadapan dengan tekanan besar selepas gagal membentangkan belanjawan dan kesatuan pekerja menolak rancangan langkah penjimatan kerajaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!