Projek Sunway Pier Harbour sumbang RM5 bilion kepada KDNK - Anthony Loke

Anthony
Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR – Projek Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang dijangka menyumbang lebih daripada RM5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menarik lebih 30 juta pelancong dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek itu juga bakal mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan dan menjadi tarikan utama di kawasan berkenaan.

“Kerajaan berpandangan bahawa pembangunan ini akan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk antarabangsa bagi sektor pelancongan dan mempertingkat imej kawasan pesisir melalui pembangunan yang mampan serta berteraskan kepentingan awam,” katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Dr Hajah Halimah Ali (PN–Kapar) berhubung status kelulusan perancangan, laporan penilaian alam sekitar dan langkah kerajaan untuk memastikan manfaat pekerjaan daripada projek Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang yang bernilai RM255 juta.

Anthony menegaskan projek yang dijangka siap pada suku kedua tahun 2028 itu merupakan inisiatif pihak swasta, namun kerajaan mengambil maklum akan potensi manfaat ekonomi yang dapat dijana hasil daripada pembangunan tersebut.

Ujar beliau, ia tidak memberi kesan kepada pelabuhan komersial sedia ada, sebaliknya bertujuan menaik taraf tapak berkenaan sebagai destinasi pelancongan kepada pengunjung.

“Seperti saya katakan, projek itu ialah terminal feri terdahulu, cuma dinaik taraf untuk dijadikan sebagai ruang komersial.

“Sama ada pengendali feri sedia ada hendak menggunakan perkhidmatan baharu atau tidak, itu terpulang kepada mereka. Ia inisiatif swasta dan kita tidak memaksa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Projek Sunway Pier Harbour di Pelabuhan Klang dijangka menyumbang lebih daripada RM5 bilion kepada KDNK dan menarik lebih 30 juta pelancong dalam 10 tahun
  • Mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan
  • Bertujuan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk antarabangsa untuk sektor pelancongan
  • Inisiatif pihak swasta yang tidak memberi kesan kepada pelabuhan komersial sedia ada
  • Dijangka siap pada suku kedua tahun 2028

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!