Autoriti pendakwaan mesti berkhidmat untuk kepentingan awam, bukan kerajaan semasa - C4

Pushpan ketika Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat di Studio F Sinar Harian pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Pushpan ketika Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat di Studio F Sinar Harian pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Autoriti pendakwaan tidak seharusnya berkhidmat kepada kerajaan semasa, sebaliknya mestilah berkhidmat kepada kepentingan awam, Perlembagaan dan tuntutan keadilan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), Pushpan Murugiah berkata, di bawah kerangka sedia ada, Peguam Negara dilantik secara langsung atas nasihat Perdana Menteri memegang jawatan Pendakwa Raya secara ex officio.

Beliau berkata, Peguam Negara diberikan budi bicara hampir mutlak oleh Perlembagaan untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan prosiding jenayah.

"Keadaan ini mewujudkan risiko ketara terhadap campur tangan Eksekutif dalam proses membuat keputusan pendakwaan.

"Ia sebagaimana pernah berlaku apabila Tan Sri Abdul Gani Patail disingkirkan semasa pentadbiran Datuk Najib Razak ketika beliau terlibat dalam pasukan petugas khas menyiasat dakwaan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika Sidang Media Pengasingan Kuasa Peguam dan Pendakwa Raya: Apa Harapan Rakyat di Studio F Sinar Harian pada Khamis.

Pushpan menegaskan prinsip-prinsip umum perlu mengatasi sebarang kepentingan politik, maka atas sebab itulah pejabat Pendakwa Raya baharu tidak seharusnya dilantik mengikut budi bicara Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan, unsur paling kritikal bagi memastikan reformasi terbabit bermakna ialah kebebasan Pendakwa Raya daripada badan Eksekutif.

Menurut Pushpan, Pendakwa Raya Negara mestilah dilindungi daripada sebarang risiko campur tangan Eksekutif dalam pelaksanaan tugas mereka supaya semua pendakwaan dijalankan semata-mata demi kepentingan keadilan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan bagaimana penggunaan budi bicara dan amalan pendakwaan membawa kepada keputusan-keputusan menimbulkan persoalan dalam kes-kes jenayah melibatkan tokoh politik," ujarnya lagi.

Katanya, risiko campur tangan Eksekutif dalam keputusan pendakwaan menjadi lebih membimbangkan khususnya apabila sekutu politik berpotensi terlepas daripada kebertanggungjawaban jenayah dengan pengenalan perjanjian pendakwaan tertangguh (DPAs) bagi menyelesaikan kes-kes rasuah tanpa perbicaraan di mahkamah.

Beliau melihat, pembentukan jawatan Pendakwa Raya Negara baharu akan menumpukkan atau memindahkan kuasa besar ke tangan individu tidak dipilih atas keperluan mustahak, sekali gus tidak boleh secara langsung dipertanggungjawabkan kepada cabang Eksekutif.

Sarannya, mandat statutori perlu ada bagi mekanisme ketelusan dan akauntabiliti berkaitan pelaksanaan kuasa serta tugas pendakwaan merangkumi pengawasan parlimen proaktif dan tepat pada masanya bagi mencegah sebarang salah guna kuasa Pendakwa Raya.

Pushpan menambah, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Negara adalah dengan syarat kewujudan mekanisme ketelusan serta akauntabiliti

Oleh demikian, beliau menegaskan, wujud keperluan mendesak terhadap perlunya pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Ringkasan AI

  • Autoriti pendakwaan harus berkhidmat kepada kepentingan awam, bukan kepada kerajaan semasa
  • Peguam Negara, yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri, memegang kuasa mutlak dalam prosiding jenayah
  • Risiko campur tangan Eksekutif dalam keputusan pendakwaan menjadi kebimbangan
  • Kebebasan Pendakwa Raya dari badan Eksekutif ditekankan untuk reformasi bermakna
  • Perlunya pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk ketelusan dan akauntabiliti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!