Pas Perak mungkin pegang portfolio agama: Exco

Mohd Akmal (kiri) mendaftar masuk ke pejabat pada hari pertama selepas dilantik sebagai Exco kerajaan Perak baharu semalam.
Mohd Akmal (kiri) mendaftar masuk ke pejabat pada hari pertama selepas dilantik sebagai Exco kerajaan Perak baharu semalam.
A
A
A

IPOH - Pas Perak menjangkakan portfolio berkaitan agama Islam akan diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang dilantik sebagai Exco kerajaan Perak.

Exco Kerajaan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, melihat kepada Pas sebagai parti bertunjangkan Islam, kemungkinan besar portfolio berkaitan agama akan diserahkan kepada salah seorang Exco kerajaan negeri yang dilantik.

Menurutnya, bagaimanapun segala keputusan mengenai pembahagian portfolio tersebut bergantung kepada keputusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menentukan perkara itu.

"Jika portfolio agama Islam diberikan kepada Pas, kita lihat ia satu perkembangan yang baik malah bukan kali pertama Pas menjadi Exco agama Islam di Perak kerana pada tahun 2008 Pas mendapat portfolio tersebut.

"Insya-ALLAH, kita akan buat yang terbaik untuk agama Islam dan rakyat jika diberikan tanggungjawab itu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembahagian portfolio Exco kerajaan negeri yang dilantik semalam.

Sementara itu, Mohd Akmal yang juga Setiausaha Pas Perak berkata, pihaknya menjunjung kasih atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan berterima kasih kepada Ahmad Faizal kerana melantik dua wakil Pas di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, pelantikan Exco kerajaan yang baharu akan membantu melicinkan pentadbiran kerajaan negeri selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Sultan Nazrin meletakkan harapan yang tinggi kepada kami semua Exco supaya tumpuan diberikan kepada isu-isu berkaitan kesihatan dan ekonomi. Kita akan memberikan sokongan penuh kepada menteri besar untuk mentadbir kerajaan ini.

"Sebagai Exco yang pertama kali dilantik, saya juga ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan ucapan tahniah dan doa yang begitu banyak atas pelantikan ini. Minta maaf saya tak sempat nak balas semua ucapan dan doa itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat Perak akan terus memberikan kepercayaan kepada pentadbiran kerajaan sedia ada dalam usaha menangani krisis yang sedang berlaku.

Semalam, tujuh ADUN dilantik sebagai Exco kerajaan Perak yang baharu masing-masing terdiri daripada tiga wakil rakyat UMNO, dua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dua lagi wakil rakyat daripada Pas.

Selain Mohd Akmal, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Gunung Semanggol turut dilantik sebagai Exco kerajaan negeri mewakili parti itu.

Majlis mengangkat sumpah jawatan dilakukan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini.