Peluang masih terbuka buat atlet yang belum layak

Subramaniam Raman Nair
Subramaniam Raman Nair
A
A
A

Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyokong penuh keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) / Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan

Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 untuk menganjurkan temasya Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September tahun depan.

Menurut Setiausaha Agung MPM, Datuk Subramaniam Raman Nair, ia adalah satu keputusan yang bijak sekali gus mempamerkan penyatuan sifat kemanusiaan dan semangat kesukanan yang tinggi.

Dengan atlet yang layak telah mendapat jaminan tempat katanya, bermakna kini peluang masih terbuka buat atlet yang belum layak membuat persiapan sewajarnya untuk memburu tempat ke Sukan Paralimpik 2021.

"Ia berikutan proses kelayakan akan kembali diteruskan seperti biasa selepas terdapat beberapa kejohanan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan sebelum ini disebabkan isu penularan virus Covid-19.

"MPM sedia bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam memperincikan atlet yang mempunyai potensi untuk dihantar ke kejohanan kelayakan bagi membolehkan lebih ramai atlet negara beraksi di Tokyo 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama jelasnya, MPM sedang mensasarkan lima lagi acara sukan untuk menjadikan keseluruhannya sembilan acara disertai Malaysia daripada 23 acara sukan di Sukan Paralimpik khususnya acara powerlifting, badminton, boccia, ping pong dan tenis berkerusi roda.

"Ini katanya, bagi meningkatkan jumlah pengesahan penyertaan sedia ada Malaysia iaitu empat atlet daripada acara olahraga, renang (2), memanah (2) dan lumba basikal (2).

Artikel Berkaitan:

"Ke semua mereka diberi jaminan oleh IOC yang mengekalkan kuota bagi atlet yang sudah layak. Kesan daripada penangguhan Sukan Paralimpik Tokyo turut menimbulkan cabaran sukar buat semua pihak termasuk atlet, MSN, MPM dan kerajaan, tetapi ia harus dilihat dari sudut kemanusiaan yang mana virus Covid-19 ini telah mengancam kesihatan dan nyawa semua penduduk dunia.

"Justeru itu, menjadi keutamaan semua organisasi dan agensi sukan untuk berganding bahu dalam membantu kerajaan memerangi wabak ini dengan menghentikan segala aktiviti sukan buat sementara waktu," katanya.

Tambahnya lagi, beberapa temasya dan kejohanan utama seperti Sukan Para ASEAN 2021 di Vietnam dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China juga dijangka berdepan rombakan tarikh susulan daripada penangguhan Sukan Paralimpik Tokyo.

Namun menurutnya, MPM mempunyai keyakinan penuh terhadap MSN untuk mengambil langkah yang wajar bagi menangani cabaran ini.

"Bagi MPM kami sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan atlet Para dan warga Orang Kurang Upaya di seluruh Malaysia. Ayuh patuhi saranan kerajaan untuk kekal duduk di rumah," katanya.