Penganggur didakwa dua pertuduhan samun, miliki kerambit

Ramizu (dua dari kiri) dikawal polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
Ramizu (dua dari kiri) dikawal polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan samun terhadap dua mangsa secara berasingan termasuk menyebabkan salah seorang daripada mereka cedera.

Tertuduh, Ramizu Che Amat, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.

Menurut pertuduhan pertama, Ramizu didakwa melakukan samun terhadap Choo Choi San, 51, di belakang sebuah kedai motosikal di Jalan Sultanah Zainab, di sini pada jam 7 pagi, 24 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ramizu didakwa merompak seutas rantai emas milik wanita warga emas, Asmah Draman, 70, di Kedai Gunong, Bachok, pada jam 7.05 pagi, 21 September lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, serta boleh dikenakan denda atau sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Disember ini.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh berdepan satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit berukuran 16 sentimeter, tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel bajet di Taman Sri Baung di sini pada jam 2 petang, 14 Oktober lalu.

Bagi kesalahan memiliki senjata itu, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 17 Disember ini bagi kes berkenaan.

Tertuduh tidak dibenarkan jamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Ringkasan AI

  • Seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan samun termasuk menyebabkan cedera kepada salah seorang mangsa
  • Ramizu Che Amat, 43, dibacakan pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu
  • Didakwa melakukan samun terhadap Choo Choi San dan merompak rantai emas milik Asmah Draman
  • Berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan
  • Tertuduh juga menghadapi pertuduhan memiliki senjata berbahaya tanpa kebenaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!