Caj ‘pasport terbang’ RM850, ejen sindiket ditahan

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan dipercayai ejen sindiket ‘pasport terbang’ ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu operasi khas di sebuah pangsapuri di Taman Daya di sini, Khamis lalu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Operasi Serkap hasil risikan selama dua minggu terhadap kegiatan sindiket berkenaan yang disyaki menyalahgunakan dokumen perjalanan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 6.50 petang dan pemeriksaan di premis terbabit menemui sembilan pasport milik warga asing yang dipercayai digunakan untuk keluar masuk negara dengan mendapatkan cop keselamatan secara tidak teratur.
“Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Rusdi berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai ejen sindiket dan mengenakan bayaran sebanyak RM850 bagi setiap pasport yang diuruskan.

Katanya, suspek kini ditahan di Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor bagi membantu siasatan lanjut sebelum tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“Jabatan memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan pasport dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat kerana perbuatan ini boleh mengancam keselamatan negara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyerahkan pasport kepada mana-mana pihak dan segera menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya mengetahui sebarang kegiatan penyalahgunaan dokumen perjalanan,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki tempatan dipercayai ejen sindiket 'pasport terbang' ditahan JIM Johor
- Operasi Serkap dilaksanakan berdasarkan risikan dua minggu terhadap kegiatan sindiket
- Sembilan pasport warga asing yang digunakan secara tidak sah ditemui dalam serbuan
- Lelaki berumur 44 tahun ditahan atas kesalahan di bawah Akta Pasport 1966
- Suspek mengenakan bayaran RM850 untuk setiap pasport yang diuruskan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

