X

Kindly register in order to view this article
!

Aminolhuda calon Ketua Pembangkang Johor baharu

Aminolhuda Hassan
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Johor (MPPHJ) bersetuju melantik Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan sebagai calon Ketua Pembangkang Johor yang baharu.

Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu mendapat persetujuan tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) Johor iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas gabungan tersebut menjadi pembangkang di negeri ini.

MPPHJ dalam satu kenyataan rasmi pada hari ini memberitahu, keputusan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Speaker dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menurut kenyataan itu, fokus PH selepas ini adalah menjadi pembangkang yang bertanggungjawab serta berkesan diterajui Aminolhuda dan keutamaan ketika ini adalah memberi khidmat kepada rakyat yang sedang berdepan wabak koronavirus (Covid-19).

"Pada saat genting seperti kini, kebajikan rakyat merupakan keutamaan PH. Kami sedia menghulurkan bantuan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik.

"Kami faham bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa kebimbangan dan kesulitan kepada rakyat terutamanya golongan yang kurang kemampuan.

"Sepanjang tempoh PKP, ahli majlis, ketua kampung, ketua masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pemimpin komuniti tempatan PH memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat tanpa mengenal penat lelah.

"Walaupun tempoh perkhidmatan mereka dalam jawatan-jawatan tersebut tamat 31 Mac, mereka tetap bertungkus-lumus menunaikan kewajipan terhadap seluruh warga masyarakat," kata kenyataan itu.

MPPHJ juga menolak pelantikan persendirian ahli-ahli PH untuk jawatan-jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional.

Sekiranya kerajaan negeri ingin bekerjasama dengan PH dalam usaha melawan krisis Covid-19, mereka perlu mengadakan perbincangan dengan pimpinan PH di peringkat negeri dan Pusat, bukannya menerusi cara ‘pecah dan tawan’.

"Kami menyeru semua ahli parti melibatkan diri dalam usaha membantu rakyat tetapi tetap berpegang kepada prinsip kami dan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus