Carrick dedah rahsia kebangkitan Benjamin Sesko

Carrick (dua dari kanan) memuji impak yang ditampilkan Sesko ketika menentang Fulham.
Carrick (dua dari kanan) memuji impak yang ditampilkan Sesko ketika menentang Fulham.
A
A
A

PENGENDALI sementara Manchester United, Michael Carrick memuji peranan penting barisan kejurulatihannya dalam mengembalikan keyakinan Benjamin Sesko selepas penyerang itu meledak gol kemenangan dramatik ketika menewaskan Fulham.

Sesko, yang dimasukkan sebagai pemain gantian mempamerkan penyudah berbisa untuk memastikan kemenangan 3-2 buat The Red Devils pada minit ke-94 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.

Pemain antarabangsa Slovenia itu sebelum ini bergelut mencari rentak konsisten sejak perpindahan bernilai £74 juta dari RB Leipzig pada musim panas lalu.

Dia hanya menjaringkan enam gol dalam 21 penampilan setakat ini, selain dilihat agak tenggelam berbanding rakan sepasukan baharu lain seperti Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu menjadi wira pasukan apabila bangkit daripada kegagalan menyempurnakan tandukan awal, sebelum tenang menyambar hantaran Bruno Fernandes dan merembat masuk ke penjuru gol, sekali gus melonjakkan United ke kelompok empat teratas liga.

Jaringan lewat itu memadamkan kebangkitan Fulham menerusi Raul Jimenez dan Kevin, namun Carrick lebih teruja memberikan kredit kepada Travis Binnion, jurulatih yang dinaikkan pangkat daripada skuad Bawah-21 (B-21) ke pasukan utama susulan pemecatan Ruben Amorim.

“Ini adalah detik yang cukup besar. Saya sangat gembira. Melihat reaksi semua orang di bilik persalinan, pemain dan staf, mereka tumpang gembira untuk Sesko. Sambutan yang diterimanya apabila kembali ke bilik persalinan menceritakan segalanya.

“Sejujurnya, dia (Sesko) nampak yakin dan sangat hebat. Kami telah bekerja keras bersamanya menggunakan pelbagai kaedah sejak beberapa minggu lalu.

“Dia nampak cergas dalam latihan, berbahaya dan melakukan latihan tambahan. Barisan jurulatih banyak membantu di tepi padang, terutamanya Trav (Binnion) yang banyak melakukan sesi latihan secara individu bersamanya,” ujar Carrick.

Artikel Berkaitan:

Tambah Carrick, jaringan kemenangan di hadapan Stretford End adalah impian setiap penyerang, terutamanya selepas bangkit daripada kegagalan peluang sebelumnya.

Ringkasan AI

  • Michael Carrick memuji barisan kejurulatihannya atas keyakinan yang kembali pada Benjamin Sesko selepas gol kemenangan menentang Fulham
  • Sesko menjaringkan gol pada minit ke-94, memastikan kemenangan 3-2 untuk Manchester United
  • Penyerang dari Slovenia itu bergelut mencari rentak sejak berpindah dengan nilai £74 juta dari RB Leipzig
  • Dia menjadi wira dengan gol kemenangan setelah gagal menyempurnakan tandukan awal, meningkatkan kedudukan United ke empat teratas liga
  • Jaringan tersebut merupakan impian bagi setiap penyerang, khususnya setelah bangkit dari kegagalan peluang sebelumnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!