Jangan naikkan harga barang sesuka hati!

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang di saat genting ketika ini.

Orang ramai diminta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada dalam kalangan peniaga yang gagal mematuhi peraturan dan mengaut keuntungan dalam situasi sekarang.

“Kerajaan telah pun memberi penjelasan bahawa barangan keperluan makanan mencukupi. Jadi peniaga jangan pula mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

"Ada beberapa rintihan pengguna mengenai kenaikan harga barang dan mungkin hanya di beberapa kawasan.

Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan.
Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan.

"Saya menyeru jangan ada yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan di saat genting ini. Jika ada yang gagal mematuhi arahan sila laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya menerusi catatannya di Facebook sebentar tadi.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Beliau berkata, kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk melakukan perjumpaan dengan pemain industri bekalan makanan dari semasa ke semasa agar orang ramai tidak melakukan pembelian panik susulan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas jika terdapat peniaga yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.