Cabaran guru al-Quran Braille

SHAH ALAM – Usaha melahirkan barisan tenaga pengajar al-Quran Braille yang berkemahiran terus diperkasa menerusi penyediaan modul latihan khusus bagi memastikan kesinambungan pengajaran seiring peningkatan jumlah pelajar.
Pengurus Operasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Zamzuri Ghani berkata, setakat ini bilangan guru al-Quran Braille masih mencukupi bagi menampung keperluan kelas yang sedang berjalan.
Menurutnya, meskipun terdapat ramai individu mahir membaca al-Quran Braille, keupayaan untuk mengajar memerlukan latihan dan kemahiran berbeza.
“Buat masa ini, nisbah pelajar dengan guru masih mencukupi. Kelas al-Quran yang dijalankan melibatkan kira-kira 450 pelajar dan jumlah ini dijangka terus bertambah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, bagi menjamin kelangsungan tenaga pengajar, PERTIS akan memberi fokus kepada latihan berstruktur menggunakan modul khas dengan menyasarkan pelajar al-Quran Braille berkemahiran tinggi untuk dibangunkan sebagai guru.
Sementara itu, Zamzuri berkata, berdasarkan pengalaman PERTIS, isu kekurangan guru yang mahir Braille di sekolah pendidikan khas sememangnya wujud, namun sehingga kini tiada data khusus bagi menggambarkan tahap sebenar masalah tersebut.
Katanya, ketiadaan data mengenai bilangan atau peratusan guru yang tidak mahir Braille menyukarkan penilaian tepat terhadap skala sebenar isu berkenaan.
"Kekurangan kemahiran Braille dalam kalangan guru boleh menjejaskan keberkesanan pengajaran kerana kebanyakan bahan pembelajaran termasuk buku teks dan tugasan disediakan dalam tulisan Braille.
“Apabila guru tidak mahir Braille, mereka terpaksa bergantung kepada bantuan pihak lain untuk membacakan tulisan tersebut bagi tujuan menyemak soalan, peperiksaan atau tugasan pelajar. Dalam situasi tertentu, guru turut meminta bantuan pelajar sendiri,” katanya.
Keadaan itu, menurutnya, berpotensi menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar kerana mereka mungkin tidak menerima bimbingan dan penerangan secara menyeluruh.
Malah, katanya, situasi itu juga boleh mendorong pelajar menjadi sambil lewa apabila guru tidak dapat menguasai sepenuhnya kandungan pembelajaran tulisan Braille.
"Kesannya lebih ketara melibatkan subjek seperti Matematik dan Sains yang memerlukan kefahaman tinggi serta semakan terperinci termasuk tugasan dan penilaian pelajar orang kurang penglihatan yang guna tulisan Braille," ujarnya.
Menurut Zamzuri, penggunaan tulisan Braille dalam kalangan OKU penglihatan di Malaysia semakin terhakis apabila ramai bergantung kepada teknologi pembaca skrin bersuara yang tersedia pada komputer dan telefon pintar.
Katanya, situasi itu menyebabkan mereka berasakan tidak lagi perlu membaca atau menguasai tulisan Braille terutama selepas tamat persekolahan.
"Bagaimanapun, bagi tujuan pembacaan al-Quran, pembaca skrin bersuara tidak berfungsi untuk membaca al-Quran Braille. Individu yang ingin membacanya perlu memiliki kemahiran membaca Braille.
"Justeru, bahan bacaan Braille selain al-Quran Braille sering dianggap tidak lagi penting kerana kebanyakan maklumat boleh diakses menggunakan pembaca skrin bersuara tanpa perlu menggunakan tulisan Braille," katanya.
Selain faktor teknologi, Zamzuri berkata, kos peralatan dan bahan Braille yang tinggi turut menjadi kekangan utama kepada OKU penglihatan untuk menguasai kemahiran tersebut.
Menurutnya, harga senaskhah al-Quran Braille bercetak dua muka mencecah RM420, menyebabkan kebanyakan OKU penglihatan tidak mampu memilikinya.
"Justeru di PERTIS, al-Quran Braille dan bahan bacaan berkaitan diberikan secara percuma menggunakan dana wakaf.
"Pembelajaran Braille dalam kalangan orang dewasa jauh lebih sukar berbanding kanak-kanak disebabkan faktor kesihatan, sensitiviti jari yang berkurangan dan keperluan menghafal kod Braille.
"Antara puncanya ialah penyakit saraf dan kencing manis yang mengurangkan kepekaan jari, sekali gus menyebabkan ramai OKU penglihatan dewasa mudah berputus asa ketika belajar Braille," katanya.
Dalam aspek pendidikan pula, Zamzuri berkata, literasi Braille adalah wajib di sekolah pendidikan khas dan peperiksaan masih menggunakan tulisan tersebut, namun tidak semua OKU penglihatan diwajibkan mempelajarinya.
"Murid atau pelajar rabun kategori B2 dan B3 tidak digalakkan belajar Braille tetapi gunakan tulisan biasa. Apabila mereka dewasa dan penglihatan semakin terjejas, mereka terpaksa belajar Braille dari awal dalam keadaan yang lebih sukar.
"Sepatutnya mereka yang rabun (kategori berkenaan) juga mesti menggunakan tulisan Braille," katanya.
Ringkasan AI
- Usaha melahirkan guru al-Quran Braille diperkasa dengan modul latihan khusus
- Bilangan guru al-Quran Braille mencukupi tetapi mengajar memerlukan latihan berbeza
- Kekurangan kemahiran Braille boleh menjejaskan keberkesanan pengajaran
- Kos bahan dan peralatan Braille tinggi, al-Quran Braille bercetak dua muka harganya RM420
- Faktor teknologi dan kos menjadi kekangan utama OKU penglihatan untuk menguasai tulisan Braille
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
