MFL harap pasukan lain ikut jejak langkah JDT

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap pasukan lain dapat mengikut jejak Johor Darul Ta'zim (JDT) yang membuat pemotongan gaji pemain, jurulatih dan kakitangannya selain turut mendermakan sebahagian daripada gaji mereka bagi membantu masyarakat ketika berdepan situasi mencabar akibat wabak Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, langkah berkenaan disifatkan sebagai satu yang baik khususnya dalam usaha membantu meringankan beban pihak yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19 yang semakin serius di negara ini

"MFL menyambut baik langkah kelab Johor JDT yang menyalurkan sumbangan kepada Tabung Bencana Negeri Johor baru-baru ini. Kami amat mengalu-alukan pendekatan ini yang selari dengan seruan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mahukan pemegang taruh bola sepak Malaysia mengintai jalan dalam usaha menangani masalah kewangan kelab disebabkan pandemik Covid-19.

"Ini kerana ketiadaan upaya untuk menjana pendapatan daripada jualan tiket, penajaan atau sokongan daripada pihak kerajaan, kestabilan kewangan pasukan pasti terjejas apabila Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan akibat pandemik Covid19," katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut menjunjung kasih dan merakamkan tahniah kepada Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa peka dalam usaha membantu bukan sahaja kepada barisan hadapan Covid-19, malahan semua lapisan masyarakat.

"Ketika dunia berdepan pandemik Covid-19 yang mana hampir semua kelab bola sepak di dunia sedang diuji dengan masalah kewangan, namun seluruh warga JDT pula menunjukkan sikap keprihatinan cukup tinggi apabila bersetuju dengan langkah (pemotongan gaji) ini.

"Ini satu langkah fairplay dan jelas pendekatan pihak pengurusan JDT dengan mengadakan perbincangan bersama pemain, jurulatih dan kakitangan mereka membuahkan kata sepakat untuk mengharungi detik sukar ini bersama.

"Apa yang diharapkan agar kelab dan pasukan tempatan yang lain dapat mengikut jejak langkah JDT dalam semua aspek khususnya pengurusan kewangan dalam kita sama-sama mengharungi detik sukar akibat penularan wabak Covid-19," ujarnya.

Artikel Berkaitan: