Alex Honnold bukan kebal rasa takut

Alex Honnold, mengangkat tangan dari puncak bangunan Taipei 101 selepas berjaya memanjat mercu tanda itu tanpa tali dan peralatan keselamatan di Taipei pada Ahad. Foto Agensi
Alex Honnold, mengangkat tangan dari puncak bangunan Taipei 101 selepas berjaya memanjat mercu tanda itu tanpa tali dan peralatan keselamatan di Taipei pada Ahad. Foto Agensi
A
A
A

TAIPEI – Keberanian pendaki ekstrem dari Amerika Syarikat, Alex Honnold yang berjaya menawan bangunan tertinggi Taiwan, Taipei 101, tanpa tali, abah-abah atau jaring keselamatan pada Ahad lalu, bukan berpunca daripada sifat tidak takut mati, sebaliknya hasil penerimaan sedar terhadap risiko yang diambil.

Honnold, 40, mencipta sejarah sebagai individu pertama melakukan pendakian solo bebas ke puncak pencakar langit setinggi 508 meter itu, satu pencapaian yang sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai antara pendaki solo bebas paling unggul di dunia.

Aksi berani itu mengambil masa kira-kira satu jam setengah dan disaksikan ratusan penonton di kaki bangunan, selain disiarkan secara langsung menerusi platform penstriman Netflix.

Selepas berjaya tiba di puncak dan turun semula, Honnold berkata kepada AFP bahawa masa adalah sesuatu yang terhad dan harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Masa itu terhad. Jika anda bekerja dengan sangat keras, anda boleh melakukan perkara yang sukar,” katanya.

Bukan tidak takut, tetap terima hakikat kematian

Dalam satu wawancara bersama National Geographic sebelum ini, Honnold menegaskan bahawa dirinya bukan seorang yang kebal terhadap rasa takut, termasuk ketakutan terhadap kematian.

“Saya mempunyai harapan untuk terus hidup seperti orang lain. Saya tidak mahu mati akibat aktiviti ekstrem saya ini. Bagaimanapun saya juga menerima hakikat bahawa suatu hari nanti saya juga akan mati,” katanya.

Menurut beliau, penerimaan itu membolehkannya menjalani kehidupan mengikut caranya sendiri, walaupun ia memerlukan tahap risiko yang lebih tinggi berbanding kebiasaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya mahu hidup dengan cara tertentu, dan itu memerlukan pengambilan risiko yang lebih besar. Bagi saya, risiko itu boleh diterima,” katanya kepada National Geographic.

Alex Honnold Foto Agensi
Alex Honnold Foto Agensi

Keberanian berasaskan persediaan dan disiplin

Honnold, yang terkenal selepas pendakian solo bebas El Capitan di Taman Negara Yosemite pada 2017, menolak label sebagai pencari adrenalin.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa setiap pendakian dilakukan dengan persediaan rapi, latihan berulang dan penilaian risiko yang teliti.

Katanya, keberanian sebenar bukan terletak pada memaksa diri, tetapi mengetahui bila perlu meneruskan dan bila perlu berhenti.

“Jika sesuatu itu terasa terlalu menakutkan, saya tidak akan lakukannya. Jika saya takut, saya akan bersedia lebih lama atau saya akan berhenti,” katanya.

Keberanian bermula sejak kecil

Honnold mula memanjat sejak kecil di Sacramento, California, dan aktiviti itu menjadi minat utama beliau sejak usia 10 tahun.

Pada usia 19 tahun, beliau meninggalkan pengajian universiti untuk menumpukan sepenuh masa kepada pendakian luar.

Beliau juga dikenali dengan gelaran “No Big Deal Honnold”, kerana cenderung merendah-rendahkan pencapaian sendiri walaupun ia luar biasa di mata orang lain.

Keberanian dengan kesedaran sosial

Di sebalik aksi ekstremnya, Honnold turut dikenali dengan pendekatan hidup minimalis dan komitmen sosial menerusi Yayasan Honnold, yang menyokong projek tenaga lestari di negara membangun.

Bagi Honnold, keberanian bukan sekadar menentang ketinggian atau kematian, tetapi membuat pilihan hidup secara sedar, bertanggungjawab dan dengan tujuan yang jelas.-Agensi

Ringkasan AI

  • Alex Honnold menjadi individu pertama menawan Taipei 101 tanpa alat bantu keselamatan
  • Pendakian mencapai ketinggian 508 meter itu dilakukan dalam masa kurang lebih satu jam setengah
  • Honnold menekankan pentingnya menggunakan masa dengan baik dan bekerja keras untuk mencapai sesuatu yang sukar
  • Dia mengakui tidak kebal terhadap rasa takut, tetapi menerima risiko yang tinggi sebagai bagian dari hidupnya
  • Honnold juga dikenal dengan komitmennya terhadap gaya hidup minimalis dan pekerjaan sosial melalui Yayasan Honnold

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!