Pengguna ramai punca talian telekomunikasi sesak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

CYBERJAYA – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) meminta pengguna supaya memahami punca masalah kesesakan rangkaian telekomunikasi yang berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff berkata, ketika ini, berlaku kesesakan rangkaian yang berpunca daripada peningkatan jumlah pengguna yang menggunakan rangkaian di kawasan yang sama.

"Pengguna perlu memahami punca masalah ini berlaku adalah disebabkan banyak peranti mudah alih yang akan bersaing untuk mendapatkan sambungan pada rangkaian yang sama.

"Rangkaian akan menjadi sesak apabila ramai yang menggunakan aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak seperti perkongsian foto dan penstriman video.

“Apabila berlakunya masalah kesesakan rangkaian, ia boleh memberi kesan kepada prestasi peranti pengguna seperti penurunan kelajuan data.

"Pengguna juga akan mengalami masalah seperti panggilan terputus walaupun telefon mempunyai isyarat disebabkan rangkaian tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyambungkan panggilan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, CFM yang merupakan sebuah forum yang mengutamakan kepentingan pengguna menyambut baik usaha kerajaan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan (Telco) untuk menawarkan pakej khas internet percuma kepada semua pengguna pasca bayar dan prabayar bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan PKP tamat.

"Susulan daripada usaha tersebut, CFM berharap agar penyedia perkhidmatan dapat memastikan kualiti perkhidmatan pakej internet percuma yang diberikan kepada pengguna adalah pada tahap terbaik agar dapat membantu pengguna untuk terus kekal berhubung dan mendapatkan maklumat terkini dengan lebih pantas," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, CFM menasihatkan semua pengguna agar terus mengikuti laman web dan laman sosial rasmi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pakej khas tersebut.