Bursa Malaysia melonjak 1.4 peratus, cecah paras tertinggi baharu sejak pertengahan Oktober 2018

Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun. Foto: Bernama
Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun. Foto: Bernama
A
A
A

BURSA Malaysia meneruskan momentum meningkatnya ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun, disokong oleh minat belian kukuh terhadap saham mewah daripada pelabur institusi tempatan dan asing, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 24.08 mata atau 1.40 peratus kepada 1,744.07 daripada paras penutup 1,719.99 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu melepasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 1,740.59 pada 17 Oktober 2018.

Indeks petunjuk pasaran dibuka kukuh naik 1.64 mata kepada 1,721.63, paras terendah intra harinya semasa dagangan awal, sebelum meningkat kembali ke paras tertinggi intra harinya pada 1,746.98 semasa sesi dagangan petang.

Bagaimanapun, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 631 berbanding 591, manakala 498 kaunter tidak berubah, 1,008 tidak diniagakan dan 39 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.50 bilion unit bernilai RM4.07 bilion daripada 3.40 bilion unit bernilai RM3.49 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu, minat belian terus meningkat dengan sentimen kekal bertambah baik.

Beliau berkata, indeks petunjuk pasaran kekal kukuh selepas melepasi beberapa paras penting dan mencecah pelbagai paras tertinggi baharu dalam sejarah.

"Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung dijangka muncul selepas beberapa sesi kenaikan kukuh yang dicatatkan pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Selagi indeks kekal di atas paras sokongan 1,700-1,720, paras tertinggi seterusnya dijangka kekal utuh," katanya sambil menambah beliau mengunjurkan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,720-1,750 minggu ini.

Pak Leng berkata, pengukuhan ringgit, yang meningkat ke paras 3.97 berbanding dolar AS, terus menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan.

Sementara itu, pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, kenaikan ekuiti itu didorong oleh peningkatan nilai mata wang sebelum ini.

"Kenaikan didorong mata wang ini, yang berbeza dengan didorong oleh spekulatif yang biasanya ekuiti meningkat dahulu dan baru diikuti mata wang, membayangkan pelabur menyelaraskan premium risiko mereka dan memilih penetapan harga berasaskan fundamental dan lebih bertahan lama berbanding mengejar keuntungan jangka pendek,” katanya.

Mohd Sedek berpendapat, prestasi kukuh FBM KLCI itu disokong oleh pendedahan berterusan pengurus dana global kepada ekuiti Malaysia, mencerminkan penilaian semula asas dasar dan makroekonomi Malaysia.

Selain itu, katanya, prestasi cemerlang ini juga dicapai dalam keadaan pasaran serantau yang bercampur-campur ketika para pelabur memantau rapat perkembangan geopolitik dan ketidaktentuan berkaitan perdagangan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 14 sen kepada RM11.50, Public Bank meningkat sembilan sen kepada RM4.87, CIMB naik 32 sen kepada RM8.62, Tenaga Nasional menokok 18 sen kepada RM13.98, dan IHH Healthcare meningkat enam sen kepada RM8.66.

Dalam kalangan kaunter paling aktif, Capital A naik 4.5 sen kepada 59 sen, AirAsia X melonjak 35 sen kepada RM2.19, dan Press Metal meningkat 15 sen kepada RM7.56, manakala Velesto Energy tidak berubah pada 31 sen.

Dalam kalangan saham paling untung, Nestle melonjak 80 sen kepada RM116.00, Dutch Lady Milk Industries meningkat 78 sen kepada RM33.12, manakala Hong Leong Bank dan BLD Plantation naik 50 sen masing-masing kepada RM24.50 dan RM15.80.

Dalam kalangan kaunter paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut 54 sen kepada RM32.58, SAM Engineering and Equipment turun 20 sen kepada RM3.50, ENRA Group berkurangan 19 sen kepada 41 sen, dan Hong Leong Industries merosot 16 sen kepada RM17.02.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 144.37 mata kepada 12,600.17, Indeks FBM Emas naik 138.61 mata kepada 12,799.15, Indeks FBM Mid 70 menokok 68.61 mata kepada 17,630.83, Indeks FBM Emas Shariah menambah 90.74 mata kepada 12,400.39 dan Indeks FBM ACE susut 56.34 mata kepada 4,848.71.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 394.06 mata kepada 21,197.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.79 mata kepada 177.28, Indeks Perladangan menambah 75.37 mata kepada 8,445.14 manakala Indeks Tenaga susut 4.52 mata kepada 764.86.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.06 bilion unit bernilai RM3.76 bilion daripada 1.92 bilion unit bernilai RM3.22 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 999.45 juta unit bernilai RM132.75 juta daripada 980.15 juta unit bernilai RM109.52 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 439.30 juta unit bernilai RM174.57 juta daripada 500.36 juta unit bernilai RM153.45 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 471.15 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (355.04 juta), pembinaan (157.69 juta), teknologi (237.97 juta), perkhidmatan kewangan (160.01 juta), hartanah (271.48 juta), perladangan (25.81 juta), amanah pelaburan hartanah (30.06 juta), dana tertutup (663,600), tenaga (111.89 juta), penjagaan kesihatan (118.05 juta), telekomunikasi dan media (30.40 juta), pengangkutan dan logistik (55.19 juta), utiliti (35.41 juta), dan amanah perniagaan (167,100). - Bernama

Ringkasan AI

  • Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi dalam lebih tujuh tahun
  • FBM KLCI melonjak 24.08 mata menjadikan ia 1,744.07
  • Peningkatan didorong oleh minat belian kukuh terhadap saham mewah dari pelabur institusi
  • Jumlah dagangan meningkat kepada 3.50 bilion unit bernilai RM4.07 bilion
  • Pengukuhan ringgit menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!