Kerajaan di peringkat akhir tubuh Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia

Zulkifli ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
Zulkifli ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini berada di peringkat akhir persediaan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) supaya pendakwaan syariah di negara ini dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, setakat ini ia dalam proses untuk pembentangan dan penyediaan memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar sebelum cadangan tersebut dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya diangkat ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

Katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) juga akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat bersama Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk membincangkan isu teknikal cadangan penubuhan JPSM itu secara lebih terperinci.

“Cadangan penubuhan JPSM bagi memastikan gerak kerja pendakwaan syariah seluruh Malaysia ini seragam dan tiada negeri yang ketinggalan dari perkembangan undang-undang dan fungsi pentadbiran.

“Penyelarasan ini membolehkan jabatan pendakwaan syariah negeri-negeri melaksanakan keseragaman tindakan pendakwaan syariah tanpa menjejaskan autonomi dan autoriti negeri dalam melaksanakan kuasa pendakwaan syariah di negeri-negeri,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai status Pelan Kecekapan Pendakwaan Syariah Nasional (PKPSN) sebagai dasar rasmi negara dan kesediaan kerajaan mewujudkan Akta Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan supaya fungsi pendakwaan Islam berada pada kedudukan yang kukuh bebas seperti Jabatan Peguam Negara.

Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan, cadangan penubuhan JPSM tersebut tidak akan menghakis kuasa perundangan negeri tetapi berfungsi sebagai entiti rujukan dan penyelaras di peringkat Persekutuan khususnya dalam aspek perundangan jenayah syariah, pentadbiran, latihan, kompetensi dan profesionalisme.

Menurutnya, usaha penubuhan JPSM juga mengambil kira kedudukan pendakwaan syariah di Wilayah Persekutuan dan 13 negeri kecuali Sabah yang telah diasingkan daripada Jabatan Agama Islam Negeri.

Katanya, Sabah ketika ini sedang dalam peringkat akhir untuk proses penjabatanan atau pengasingan fungsi pendakwaan syariah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JaPenSWP) dan jabatan pendakwaan syariah negeri-negeri telah mengadakan persidangan meja bulat berkaitan cadangan penubuhan ini di peringkat Persekutuan.

"Perbincangan melibatkan pihak berkuasa agama negeri serta setiausaha kerajaan negeri (jadi) pastinya ia tidak akan menghakis kuasa negeri-negeri,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai sejauh mana libat urus dilakukan bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri, Zulkifli berkata, secara prinsipnya majoriti negeri bersetuju dengan penubuhan JPSM.

"Sesi libat urus menyeluruh telah diadakan bersama kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri, kebanyakan negeri memberi maklum balas bertulis hasil daripada perbincangan yang sudah diadakan.

"Secara prinsipnya, majoriti bersetuju dengan penubuhan JPSM, namun pelaksanaannya perlu diperincikan bagi memastikan manfaat bersama serta menjamin kebebasan, integriti dan kewibawaan institusi pendakwaan syariah," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata, prestasi Mahkamah Syariah menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan peningkatan kadar penyelesaian kes khususnya di Wilayah Persekutuan.

"Bagi tempoh 2019 hingga 2025, sebanyak 9,387 kes direkodkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam manakala 858 kes di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dengan banyak kes berjaya diselesaikan dengan lebih pantas.

"Bertepatan peranan utama penubuhan JPSM, ia ditubuhkan bagi pemusatan data dan statistik pendakwaan syariah di peringkat nasional, penyelarasan tatacara pendakwaan serta penggubalan arahan amalan ketua pendakwa syarie bagi mengurangkan isu kes tertunggak atau ‘backlog’," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Malaysia dalam fasa akhir persediaan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia untuk meningkatkan pendakwaan syariah
  • Penubuhan JPSM bertujuan untuk seragamkan gerak kerja pendakwaan syariah di seluruh Malaysia tanpa menjejaskan autonomi negeri
  • Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia akan bincang isu teknikal dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam
  • Majoriti negeri bersetuju dengan penubuhan JPSM setelah sesi libat urus dengan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri
  • Penubuhan JPSM juga untuk pemusatan data dan statistik pendakwaan syariah di peringkat nasional, mengurangkan isu kes tertunggak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!