MPKu tubuh Jabatan Fasiliti Pelaburan pacu pembangunan IBTEC

MPKu menubuhkan Jabatan Fasiliti Pelaburan bagi memperkukuh usaha menarik pelabur ke daerah ini, sekali gus menyokong pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Sedenak.
MPKu menubuhkan Jabatan Fasiliti Pelaburan bagi memperkukuh usaha menarik pelabur ke daerah ini, sekali gus menyokong pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Sedenak.
A
A
A

KULAI – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menubuhkan Jabatan Fasiliti Pelaburan bagi memperkukuh usaha menarik pelabur ke daerah ini, sekali gus menyokong pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) di Sedenak.

Yang Dipertua MPKu, Mohd Hafiz Aliman berkata, jabatan baharu itu bakal memainkan peranan sebagai fasilitator dan pemudah cara kepada pelabur.

Menurutnya, jabatan berkenaan turut berperanan sebagai unit yang melaksanakan promosi serta pemasaran strategik berkaitan peluang pelaburan di kawasan tersebut.

“Penubuhan jabatan ini merupakan langkah strategik dengan kerjasama Johor Corporation (JCorp) dan diiktiraf sebagai Projek Khas Negeri oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (MMK) pada 11 Jun lalu.

“Penubuhan jabatan ini juga diyakini menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar pintar dan mampan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPKu di Dewan Persidangan MPKu, di sini, pada Selasa.

Tambah Mohd Hafiz, penubuhan fasiliti berkenaan juga dilihat mampu meningkatkan daya saing ekonomi di daerah ini dalam usaha mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif kepada pelabur.

Justeru katanya, jabatan ini diharapkan dapat memacu kejayaan pembangunan IBTEC, sekali gus menjadikannya sebagai penanda aras global dalam pembangunan perbandaran pintar.

“Sebenarnya, bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor, MPKu merupakan yang pertama menubuhkan fasiliti pelaburan ini.

“Secara tidak langsung, ia membantu mewujudkan kerjasama antara pihak PBT dengan syarikat swasta,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!