Tengku Zafrul dilantik anggotai Biro Politik PKR

SHAH ALAM – Mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan hari ini memutuskan untuk melantik bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Ex-Officio Biro Politik PKR.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat tersebut turut memutuskan beberapa pelantikan jawatan Ex-Officio yang lain iaitu Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Mohammed Taufiq Johari dan Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Menurutnya, tiga individu lain turut dilantik sebagai Ex-Officio MPP PKR, iaitu Datuk Jamawi Ja’afar, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa.
Beliau berkata, MPP turut memutuskan bahawa Kongres Nasional PKR akan diadakan di Melaka pada 25 hingga 28 Jun 2026.
"Maklumat terperinci akan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Keadilan dalam masa terdekat.
"Selain itu, MPP telah meneliti pelaksanaan ikhtiar terbaharu Kerajaan Madani termasuk Rancangan Pendidikan Negara yang merupakan satu usaha menyeluruh bagi menjamin mutu pendidikan yang lebih baik dan mempersiapkan generasi muda menghadapi dunia digital yang semakin mencabar.
"Program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga dilihat boleh ditambah baik bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan tuntas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.
Rentetan itu, pada 8 Ogos, beliau dilaporkan mengesahkan telah menyertai parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas permohonannya diterima dan kini merupakan ahli bagi cabang Ampang.
Berhubung isu rasuah, Fahmi memberitahu bahawa langkah-langkah membanteras aktiviti itu serta kumpulan kartel turut disokong.
“Sokongan itu diberikan agar dana rakyat tidak diseleweng untuk memperkaya kelompok tertentu,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Ex-Officio Biro Politik PKR
- Lima individu lain turut dilantik sebagai Ex-Officio dalam jawatan PKR
- Kongres Nasional PKR akan diadakan di Melaka pada 25 hingga 28 Jun 2026
- Program bantuan rakyat seperti SARA, STR, Jualan Rahmah dan BAP disebut sebagai usaha memperbaiki isu kos sara hidup
- Langkah membanteras rasuah dan aktiviti kartel disokong untuk mengelak penyelewengan dana rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

