Saarani, 6 ADUN sertai barisan Exco Perak

Saarani mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Saarani mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
A
A
A

IPOH - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad bersama enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak di Istana Kinta, di sini hari ini.

Upacara jam 10 pagi itu, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan mengangkat sumpah bersama ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin masing-masing daripada UMNO.

ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sementara ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin daripada Pas.

Tujuh ADUN mendapat perkenan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hari ini.
Tujuh ADUN mendapat perkenan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hari ini.

Perikatan Nasional membentuk kerajaan di Perak dengan 25 kerusi UMNO, Pas (3) dan Bersatu (4).

Pada 13 Mac lalu, Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13.

Ketika ditemui pemberita, Ahmad Faizal berkata, baginda telah memperkenan tujuh ADUN mengangkat sumpah sebagai anggota Exco Perak, hari ini.

Katanya, tiga lagi kerusi Exco akan diisi dalam tempoh terdekat ini.

Artikel Berkaitan:

"Berkenaan dengan portfolio, kita belum runding lagi, Insya ALLAH saya akan jumpa dengan semua Exco yang telah angkat sumpah ini untuk berbincang dari hati ke hati membina satu pasukan yang mantap untuk rakyat," katanya.

Dalam senarai tujuh Exco berkenaan, Saarani, Shahrul Zaman dan Nolee Ashilin pernah menganggotai barisan Exco pada kerajaan Barisan Nasional, sementara Abdul Yunus pada ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.